ARTIKEL

MANDAT… Noriqram di Hari Bertemu Pelanggan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi SKPS RON95 Peringkat Sarawak di Kuching, hari ini. FOTO: GHAZALI BUJANG

Sarawak, Sabah laksana Fleet Card BUDI95

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelaksanaan sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SPKS) BUDI95 melalui Fleet Card yang diperluaskan di Sarawak bertujuan memantau dan mengawal perbelanjaan petrol kenderaan oleh syarikat pengangkutan dan barangan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawal Selia Petroleum (Sektor Barang Kawalan dan Subsidi), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Noriqram Mohd Noor, berkata inisiatif penyasaran subsidi ini pertama kali dilaksanakan di Sarawak dan Sabah.

“Kami ingin memastikan syarikat yang layak benar-benar memahami sistem ini dan mendaftar supaya Fleet Card dapat digunakan bagi mengawal ketirisan melalui kawal selia harga dan kuota, selain had transaksi mengikut lokasi serta jumlah pembelian,” katanya.

Beliau berkata demikian Hari Bertemu Pelanggan SKPS RON95 Peringkat Negeri Sarawak di Bangunan Sultan Iskandar, di sini, hari ini.

Mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 melibatkan syarikat pengangkutan darat berdaftar dengan harga subsidi RM2.05 di Sarawak, manakala harga pam tanpa subsidi akan ditetapkan oleh kerajaan.

“Pendaftaran permohonan telah dibuka sejak 15 September lalu, manakala tarikh efektif kuota BUDI95 bermula 30 September.

“Di Sarawak, Fleet Card boleh didapatkan di syarikat minyak Petronas, Shell dan Petron,” tambahnya.

Beliau menjelaskan bahawa bagi kategori kenderaan layak, terdapat 21 jenis kenderaan pengangkutan darat yang dibahagikan kepada dua sektor iaitu pengangkutan awam dan pengangkutan barangan.

“Untuk sektor pengangkutan darat awam, terdapat sembilan jenis kenderaan termasuk bas pengantara, bas mini, bas henti-henti, bas sekolah, teksi, kereta sewa, ambulans, lori bomba dan van atau lori mayat.

“Manakala sektor pengangkutan barangan melibatkan 12 jenis kenderaan seperti pelbagai jenis lori dan van kargo,” ujarnya.

Katanya, proses permohonan perlu dibuat melalui sistem MySubsidi KPDN di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/ dan seterusnya pemohon boleh menyemak status kenderaan melalui https://mysubsidi.kpdn.gov.my/semak_kenderaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU