ARTIKEL

Sarawak salur bantuan RM100 untuk kanak-kanak di TASKA dan TADIKA

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyalurkan bantuan sebanyak RM100 bagi setiap kanak-kanak yang mendaftar di TASKA dan TADIKA di negeri ini bermula tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata bantuan ini tidak hanya terhad kepada golongan B40, sebaliknya diberikan kepada semua lapisan masyarakat.

“Ini adalah komponen baharu yang diperkenalkan bagi membantu ibu bapa membiayai keperluan awal anak-anak semasa mendaftar ke TADIKA dan TASKA.

“Dengan pelbagai bantuan, sokongan dan inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak, kita berharap lebih ramai ibu bapa akan menghantar anak mereka ke TASKA dan TADIKA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Jagaan Kanak-Kanak di Tempat Kerja (TTK) yang baharu di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Dalam usaha meringankan beban kewangan ibu bapa berpendapatan isi rumah RM7,000 ke bawah, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta untuk melaksanakan Subsidi Yuran Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, dengan kadar maksimum RM1,000 setahun.

“Inisiatif ini bermula sejak tahun 2023 bagi membantu kanak-kanak yang tidak menerima Subsidi Yuran Pengasuhan Kanak-Kanak TASKA dan Bantuan Yuran TADIKA daripada kerajaan Persekutuan.
“Usaha ini memastikan anak-anak dihantar ke TASKA dan TADIKA berdaftar bagi menjamin keselamatan serta kebajikan mereka, selain menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita dalam tenaga kerja untuk meningkatkan ekonomi keluarga,” tambahnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pada tahun 2023, seramai 2,634 kanak-kanak dari TASKA dan TADIKA swasta telah menerima manfaat daripada subsidi ini, manakala pada tahun 2024, jumlah penerima meningkat kepada 3,175 orang, menjadikan jumlah keseluruhan 5,809 penerima.

Mengenai pelancaran Pusat Jagaan Kanak-Kanak di Tempat Kerja (TTK), Fatimah berkata ia menandakan komitmen kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang lebih mudah diakses oleh ibu bapa bekerja dalam sektor kerajaan.

“Ia juga merupakan langkah penting dalam menyokong ibu bapa bekerja dengan menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak berkualiti, sekali gus membolehkan mereka menjalankan tugas dengan lebih tenang,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU