KUCHING: Sarawak akan terus memperkukuh hubungan dengan Brunei serta memperluas kerjasama serantau dalam sektor tenaga, kewangan hijau dan pembangunan ekonomi bagi membuka lebih banyak peluang kepada negeri ini.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama erat dengan Brunei terus berkembang menerusi Mesyuarat Pelaksanaan Pertukaran Surat ke-27 dan Rundingan Tahunan Pemimpin ke-27 yang berlangsung di Bandar Seri Begawan bulan lalu.
“Rakan kongsi yang kukuh di tanah air memberi kita keyakinan untuk memandang ke luar,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini hari ini.
Beliau berkata, lebih separuh daripada keseluruhan sempadan darat sepanjang 528 kilometer antara Sarawak dengan Brunei kini diukur dan ditandakan.
“Dalam bidang tenaga, Sarawak bersedia untuk menandatangani Lembaran Terma Perhubungan Tenaga (Term Sheet on Power Interconnection) dengan Brunei, dan kami berharap dapat melaksanakannya dalam tahun ini,” katanya.
Abang Johari berkata, Sarawak turut memperluas hubungan di peringkat serantau menerusi pertemuan dengan Bank Pembangunan Asia (ADB) di Manila, Filipina, pada September lalu.
Beliau mengetuai delegasi Sarawak ke ibu pejabat ADB bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden ADB, sesi bersama pengurusan Jabatan Regional Asia Tenggara ADB serta dialog bersama warga kerja dan kepimpinan bank berkenaan.
Menurutnya, Sarawak mempunyai pasaran tenaga domestik yang sederhana, justeru integrasi lebih mendalam dengan ASEAN penting bagi memperluas pasaran tenaga negeri.
“Kami berhasrat untuk mencapai 10 gigawatt jumlah kapasiti penjanakuasa menjelang 2030 dan 15 gigawatt menjelang 2035, dengan membekalkan jiran-jiran kita melalui Grid Tenaga ASEAN dan susunan dwipihak sedia ada,” katanya.
Di samping itu, beliau berkata, pengurusan bank tersebut menunjukkan minat yang tulen untuk menyokong Sarawak, sama ada melalui pembiayaan, bantuan teknikal atau sokongan penyediaan projek, selain mengesahkan minatnya untuk memperdalam libat urus melalui pejabat Malaysia yang dirancang.
“Bersama-sama, kami mengenal pasti asas kerjasama yang jelas, daripada sambungan tenaga rantau dan kewangan hijau kepada pembangunan bandar rendah karbon seperti Hab Rendah Karbon Kuching kita.
“Kredibiliti Sarawak di persada antarabangsa bukanlah diminta tetapi diraih – dengan memenuhi satu demi satu janji yang dibuat,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, Sarawak turut memperkukuh asas perundangan dan komersial bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri serta menarik pelaburan menerusi penubuhan Hab Serantau Borneo Pusat Arbitrasi Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuching.
Beliau menyatakan bahawa beliau menyaksikan pertukaran perjanjian bagi memformalkan penubuhan hab berkenaan pada 19 Oktober lalu.
“Ini menandakan satu pencapaian penting dalam kemajuan ekosistem Penyelesaian Perselisihan Alternatif (ADR) di Sarawak, apabila AIAC menubuhkan hab serantau pertamanya di luar Kuala Lumpur.
“Penubuhan hab ini mencerminkan komitmen kita untuk memperkukuh kerangka undang-undang dan komersial yang diperlukan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak secara berterusan,” katanya.
Katanya, hab ini bersedia untuk meningkatkan akses kepada penyelesaian pertikaian komersial yang cekap dan berkesan, memupuk pengiktirafan antarabangsa dan kerjasama rantau yang lebih besar, serta memperkukuh keyakinan pelabur menerusi persekitaran perniagaan yang lebih kondusif dan berdaya saing.
KAPSYEN:
Pic 1: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan ucapan penggulungan di DUN Sarawak. Foto: Penerangan


