KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWPK) menyasarkan semua kanak-kanak di Sarawak mendapatkan pendidikan prasekolah di tahap tertinggi.
Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, berdasarkan statistik tahun lepas, Sarawak hanya mencatatkan sebanyak 98.86 peratus penyertaan kanak-kanak tahun 1 dalam prasekolah dan tadika.
Beliau berkata, disebabkan itu kementeriannya menyasarkan peratusan tersebut meningkat kepada 100 peratus tahun ini bagi memastikan setiap kanak-kanak di Sarawak mendapat akses kepada pendidikan prasekolah.

“Ini kerana berdasarkan pemetaan, kita mendapati seramai 120 kanak-kanak darjah 1 tidak mengikuti pendidikan awal kanak-kanak bagi tahun lepas, diikuti 103 kanak-kanak di Kuching manakala 65 kanak-kanak di Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak 2023 di sini, hari ini.
Sehubungan itu kata Fatimah, kementerian komited menangani masalah tersebut dan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
“Kemudian kita akan melihat mengapa kanak-kanak ini tidak mendapatkan pendidikan prasekolah.
“Sekiranya disebabkan Tadika atau Taska jauh daripada tempat tinggal dan terdapat keperluan untuk menubuhkan Tadika atau Taska baharu, maka kita akan berusaha agar Tadika atau Taska baharu dibina di kawasan mereka,” katanya.
Sementara itu tambah Fatimah, sebanyak 3,062 Institusi Pendidikan Awal Kanak-kanak (IPAKK) berdaftar di seluruh Sarawak setakat 31 Disember tahun lepas.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 228 merupakan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) manakala 2,834 Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) menjadikan jumlah kanak-kanak di seluruh Sarawak seramai 67,723 setakat penghujung 2022, ujar Fatimah.

