KUCHING: Kerajaan Sarawak sasar kemasukan pelancong antarabangsa serta domestik ke negeri ini mencecah 4 juta orang pada tahun 2024.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan meningkatkan jumlah sasaran tahun hadapan satu kali ganda berikutan pencapaian membanggakan yang dikecapi bagi tahun 2023 (3 juta).
“Tahun lalu 2 juta, tahun ini 3 juta dan kita telah mencapai sasaran pada minggu pertama Oktober 2023. Jadi sekarang kita mahu pergi lebih jauh dengan meningkatkan jumlah sasaran (kemasukan pelancong) jadi 4 juta.
“Hal ini bukan kerana kita mencapai 3 juta tahun ini, tetapi mengikut prestasi semasa yang telah diatur dari tahun ke tahun.
“Tahun ini kita melepasi sasaran dan begitu juga pada tahun lepas (2019). Maka, kita mahu naikkan jumlah sasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Intergriti Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) di Pusat Konvensyen Kuching Borneo (BCCK), hari ini.
Mengenai pencapaian terbabit, beliau berterima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada semua agensi terlibat di atas usaha dan kerja keras mereka dalam memastikan prestasi pelancongan di Sarawak semakin meningkat.
Tegasnya, pencapaian terbabit juga merupakan hasil sokongan dan dorongan yang tidak putus daripada Kerajaan Sarawak.


