SINGAPURA: Sarawak menyasarkan untuk mencapai tahap ‘tipping point’ atau titik peralihan pembangunan ekonomi menjelang tahun 2030 selaras dengan matlamat menjadi negeri berpendapatan tinggi dan antara pemain utama ekonomi di rantau ASEAN.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, berdasarkan teori Kuznets Curve, ekonomi Sarawak kini berada pada fasa pra-pemodenan atau pra-industri yang sedang menuju ke arah kematangan.
Beliau menjelaskan bahawa ketika ini negeri sedang membangun dan tumpuan kini diberikan kepada keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
“Kita mahu mencapai tahap ‘tipping point’ pada tahun 2030 ketika itu Sarawak bukan sahaja menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, tetapi rakyatnya juga menikmati taraf hidup yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat kepada penjawat awam Sarawak bersempena dengan dengan Program Sarawak Civil Service (SCS) One Team Retreat (OTR) 2025 di Singapura, hari ini.
Abang Johari berkata, pada masa ini Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak telah meningkat kepada RM142 bilion berbanding sekitar RM90 bilion sebelumnya.
“Sasaran kita ialah untuk mencapai RM280 bilion menjelang 2030. Untuk sampai ke situ, kerajaan dan penjawat awam mesti bergerak sebagai satu pasukan dengan hala tuju yang jelas. GPS kita sudah ada, tinggal lagi kita perlu ikut koordinatnya dengan disiplin,” tegas beliau.
Menurut Abang Johari, Sarawak berpotensi menjadi pemain utama bukan sahaja dalam ekonomi Malaysia, tetapi juga di peringkat ASEAN, dengan kemampuan membekalkan tenaga kepada grid serantau dan memainkan peranan strategik dalam industri kuasa serta gas.
“Sarawak juga boleh menjadi pemain utama ekonomi ASEAN. Kita mesti sentiasa inovatif dan berfikir ke hadapan,” ujarnya.
Beliau menambah, matlamat jangka panjang Sarawak bukan sekadar menjadi negeri maju dalam Malaysia, tetapi turut dikenali sebagai ekonomi berpengaruh di rantau ini.
“Kita bukan lagi ibarat hubungan seperti Bulgaria kepada Jerman, atau Sarawak kepada Malaysia, tetapi Sarawak kepada ASEAN. Inilah hala tuju baharu kita,” katanya.
Abang Johari menegaskan bahawa dengan kekuatan sumber asli, tenaga kerja berdisiplin dan perancangan strategik jangka panjang, Sarawak mampu mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030, selaras dengan aspirasi Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030.- TVS

