KUCHING: Sarawak menyasarkan pembangunan industri kreatif digital yang mampu melahirkan bakat tempatan, menarik pelaburan serta mengangkat kekayaan budaya dan kisah negeri ini sebagai harta intelek untuk pasaran global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, aspirasi Sarawak bukan sekadar menganjurkan acara berkaitan industri kreatif, sebaliknya membangunkan ekosistem industri yang menyediakan ruang dan peluang kepada penggiat kreatif, studio serta pelabur, katanya dalam ucapan yang disampaikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Perasmian Festival Animasi dan Permainan Borneo (BAGFest) 2026 di Hotel Pullman, di sini, hari ini.
Sarawak perlu memperkukuh keseluruhan rantaian nilai industri kreatif, daripada pembangunan bakat dan penghasilan karya hingga pengkomersialan, pembangunan harta intelek, pemasaran serta pengedaran ke pasaran global.
Menurutnya, animasi, permainan, filem, media imersif dan kandungan digital kini bukan sekadar produk hiburan, malah mampu mewujudkan peluang pekerjaan, menarik pelaburan, menjana harta intelek serta memperkenalkan budaya Sarawak ke peringkat antarabangsa.
Abang Johari berkata, kekayaan budaya, warisan, biodiversiti dan cara hidup Sarawak menyediakan asas kukuh untuk menghasilkan karya kreatif yang mempunyai identiti tersendiri.
Katanya, cerita tempatan perlu dikembangkan melangkaui bentuk asal supaya mempunyai nilai komersial dan berpotensi menjadi produk kreatif yang lebih besar.
Beliau berkata, penggabungan warisan budaya dengan teknologi moden mampu menghasilkan kandungan yang kekal berteraskan identiti Sarawak, namun mempunyai daya tarikan antarabangsa.
Masa depan ekonomi kreatif bergantung kepada keupayaan menggabungkan budaya dengan teknologi, kreativiti dengan perniagaan serta identiti tempatan dengan nilai global.
Menurutnya, BAGFest menjadi platform penting bagi bakat muda bertemu pemain industri, studio, penerbit dan bakal majikan, selain mempamerkan hasil karya serta membina jaringan profesional.
Abang Johari turut menggesa kerjasama lebih erat antara kerajaan, industri, institusi akademik dan komuniti bagi memperkukuh ekosistem industri kreatif.
Katanya, kerjasama antara Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bersama rakan industri serta komuniti mencerminkan bentuk kerjasama yang diperlukan untuk mewujudkan peluang sebenar kepada bakat dan perniagaan tempatan.
Beliau turut menggesa pemain industri melabur dalam bakat tempatan, bekerjasama dengan studio Sarawak, membimbing penggiat kreatif serta membawa lebih banyak projek ke negeri ini.
“Dengan platform dan ekosistem yang tepat, kisah-kisah Sarawak berpotensi menembusi pasaran lebih luas melalui kaedah penceritaan digital baharu, sekali gus memastikan identiti negeri terus dikenali dan relevan di peringkat global,” katanya.

