ARTIKEL

Dr Sim (tengah) bersama barisan kenamaan lain dan para hadirin merakamkan gambar kenangan semasa perasmian Persidangan AI dan Penjagaan Kesihatan Moden 2026.

Sarawak sasar jadi hab penjagaan kesihatan moden dan bioinovasi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak menyasarkan kedudukan sebagai hab penjagaan kesihatan moden dan bioinovasi dengan memanfaatkan kelebihan biodiversiti, kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital serta pembangunan modal insan sebagai pemacu utama.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, negeri ini memiliki kelebihan tersendiri untuk merealisasikan aspirasi tersebut menerusi kekuatan biodiversiti, peluasan rangkaian digital, komitmen politik yang jelas serta pelaburan berterusan dalam pembangunan bakat berkemahiran tinggi.

“Sarawak mempunyai kelebihan tersendiri yang meletakkan kita pada kedudukan terbaik untuk menjadi hab penjagaan kesihatan moden dan bioinovasi.

“Pertama, kita memiliki biodiversiti yang tiada tandingannya. Hutan hujan kita merupakan makmal hidup dan menerusi inisiatif seperti Sarawak Biodiversity Centre, kita menggabungkan pengetahuan tradisional dengan penemuan ubat berasaskan AI serta bioteknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan AI dan Penjagaan Kesihatan Moden 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Menurutnya, kelebihan kedua Sarawak ialah pembangunan infrastruktur digital yang sedang diperkukuh secara agresif bagi menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan moden di seluruh negeri, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Kita sedang membina infrastruktur digital yang kukuh dengan memperluaskan kesalinghubungan menerusi projek SMART600 serta peluasan rangkaian 5G yang sedang dilaksanakan bagi menghubungkan setiap klinik luar bandar di Sarawak.

“Infrastruktur ini menjadi asas penting dalam mempercepatkan penggunaan teknologi digital dan AI dalam sistem penjagaan kesihatan negeri,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan modal insan pula menjadi tonggak ketiga dalam usaha menjadikan Sarawak sebagai hab inovasi kesihatan, sejajar dengan komitmen kerajaan negeri untuk melahirkan tenaga kerja masa depan.

“Kita juga mempunyai bakat yang berdedikasi serta iltizam politik yang jelas.

“Menerusi komitmen kerajaan negeri menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta bidang teknologi, bermula tahun ini, kita sedang menyediakan tenaga kerja yang diperlukan pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Sim berkata, Sarawak mempunyai segala kelebihan untuk membangunkan penyelesaian kesihatan bertaraf global berasaskan kekuatan tempatan.

“Inovasi tidak semestinya berasal dari bandar raya besar dunia. Ia boleh dan sepatutnya berkembang di Sarawak, dibentuk oleh profil kesihatan kita yang unik, persekitaran yang kaya serta bakat tempatan yang kita miliki,” ujarnya.

Beliau berkata, penganjuran persidangan antarabangsa seperti itu bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu dan teknologi, malah bertindak sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi berasaskan inovasi.

“Impak persidangan ini jauh melangkaui program yang berlangsung hari ini. Ia bertindak sebagai pemangkin ekonomi dan sosial.

“Bagi Sarawak, penganjuran acara bertaraf antarabangsa seperti ini mampu mempercepatkan pelaburan berteknologi tinggi, memperkukuh potensi pelancongan perubatan serta membawa modal intelektual global ke negeri ini, sekali gus menjadikan cabaran penjagaan kesihatan tempatan sebagai platform untuk membangunkan penyelesaian bertaraf dunia,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU