KUALA LUMPUR: Sarawak berhasrat muncul sebagai hab perubatan integratif serantau dengan memanfaatkan kekayaan biodiversiti, keupayaan penyelidikan bioperubatan serta kepakaran klinikal bagi membangunkan ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh dan berdaya saing.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, aspirasi itu memerlukan kerjasama strategik antara institusi penyelidikan, universiti, pengamal perubatan dan rakan industri bagi memastikan hasil penemuan saintifik dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada masyarakat.
Beliau berkata, pembangunan ekosistem berkenaan boleh dipacu menerusi tiga bidang utama, iaitu perubatan botani berasaskan biodiversiti Sarawak, perubatan regeneratif dan inovasi bioperubatan serta genomik, epigenetik dan perubatan peribadi.
“Sarawak mempunyai potensi untuk membangunkan ekosistem ini melalui tiga bidang yang saling berkait, yang masing-masing menawarkan peluang untuk memajukan pemahaman saintifik, memperkukuh kepakaran tempatan serta menyumbang kepada inovasi penjagaan kesihatan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Perubatan Integratif 2026 (IIMC 2026) di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Mengulas lanjut mengenai perubatan botani, Abang Johari berkata, kekayaan biodiversiti Sarawak serta pengetahuan tradisional masyarakat peribumi menyediakan asas penting untuk memperluas penyelidikan terhadap tumbuhan yang berpotensi dimanfaatkan dalam bidang perubatan.
Katanya, usaha itu boleh diperkukuh melalui kerjasama antara pengamal perubatan tradisional, ahli botani, universiti, pengamal perubatan dan sektor industri bagi mengenal pasti potensi tumbuhan ubatan serta membangunkan piawaian kualiti berasaskan penyelidikan saintifik.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pembangunan bidang berkenaan perlu mengambil kira hak masyarakat peribumi, pemeliharaan biodiversiti serta memastikan penyertaan dan perkongsian manfaat yang adil kepada komuniti terbabit.
Dalam bidang genomik, epigenetik dan perubatan peribadi pula, beliau berkata, pendekatan berkenaan berpotensi memperluas penyelidikan mengenai perbezaan individu, kecenderungan terhadap penyakit serta tindak balas seseorang terhadap sesuatu intervensi kesihatan.
Namun, katanya, setiap kemajuan penyelidikan perlu dilaksanakan secara beretika dengan mengutamakan keselamatan data, perlindungan hak individu dan akses saksama terhadap manfaat penyelidikan.
“Kemajuan yang dicapai mestilah disertai dengan persetujuan, pentafsiran hasil kajian secara bertanggungjawab, pengurusan data kesihatan yang selamat serta akses yang saksama terhadap manfaat penyelidikan.
“Keyakinan masyarakat terhadap ketiga-tiga bidang ini bergantung pada kualiti penyelidikan saintifik, kecekapan golongan profesional serta integriti institusi,” katanya.
Persidangan bertemakan ‘Collaborative Synergies: Shaping an Integrative Health Ecosystem for Medical Wellness and Salutogenesis’ itu menghimpunkan 27 penceramah dari 10 negara serta lebih 350 peserta dari 13 negara dan wilayah.
Turut hadir Presiden Persatuan Perubatan Integratif Malaysia (AIMM), Dr Janethy Balakrishnan; Pengasas Bersama Institut Perubatan Regeneratif Bersepadu (IIRM), Nils Bokström; Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Pusat Pakar Perubatan Normah, Dato’ Dr Au Yong Kien Hoe serta delegasi Kementerian AYUSH, Kerajaan India.




