BANGKOK: Sarawak meletakkan dirinya sebagai kuasa tenaga bersih di rantau ASEAN Selatan dengan sasaran menjana sehingga 15 gigawatt (GW) elektrik menjelang 2035, seterusnya mengeksport lebihan tenaga boleh diperbaharui ke negara jiran.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, visi tenaga serantau itu merupakan strategi jangka panjang untuk menjadikan Sarawak pembekal utama tenaga elektrik lestari di rantau ini, selain memacu pertumbuhan ekonomi menerusi penyahkarbonan.
Menurutnya lagi, Sarawak berada pada landasan untuk menghasilkan sekitar 10GW elektrik menjelang 2030 sebelum meningkat kepada 15GW pada 2035 berdasarkan sumber yang tersedia ketika ini.
“Penggunaan domestik dijangka kekal antara 6GW hingga 7GW, sekali gus mewujudkan kapasiti besar untuk dieksport ke negara lain.
“Lebihan ini akan menjadi sebahagian daripada usaha kita untuk mewujudkan grid tenaga ASEAN,” katanya ketika sesi perbincangan santai yang dikendalikan oleh penyampai berita perniagaan Channel NewsAsia (CNA), Roland Lim, pada Gastech 2026, hari ini.
Beliau berkata, Sarawak kini sedang mengadakan rundingan untuk membekalkan 1GW elektrik kepada Singapura menerusi kabel dasar laut.
Sarawak juga telah membekalkan elektrik ke Kalimantan, Indonesia sejak empat tahun lalu, manakala eksport tenaga elektrik ke Brunei Darussalam disasarkan bermula pada 2028.
Abang Johari berkata, cabaran terbesar dalam merealisasikan Grid Tenaga ASEAN bukan berkaitan pembiayaan, sebaliknya mewujudkan rangka kerja kawal selia bersama antara negara anggota.
Beliau mencadangkan ASEAN menggunakan model yang hampir sama dengan pasaran elektrik bersepadu Kesatuan Eropah, yang membolehkan perdagangan elektrik rentas sempadan dilaksanakan berdasarkan peraturan bersama dan penetapan harga berasaskan pasaran.
“Sebaik sahaja kita mempunyai persefahaman dan platform bersama, kita boleh melaksanakan usaha merealisasikan Grid Tenaga ASEAN,” katanya.
Tambahnya, strategi tenaga Sarawak membuktikan pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar boleh bergerak seiring.
Beliau berkata, sekitar 60 peratus daripada campuran tenaga negeri itu datang daripada tenaga hidro, selain disokong oleh biojisim, tenaga solar dan gas asli, sekali gus membolehkan Sarawak mengekalkan sistem tenaga elektrik antara yang terendah karbon di rantau ini.
Beliau turut menyentuh pengiktirafan Bintulu oleh Forum Ekonomi Dunia sebagai kelompok industri rendah karbon, sambil berkata industri yang dibiayai melalui pembiayaan hijau semakin memilih bandar itu sebagai destinasi pelaburan.
Mengulas aspirasi masa depan, Abang Johari berkata cita-cita Sarawak bukan sekadar menghasilkan tenaga bersih.
“Menjelang 2030, saya mahu Sarawak dikenali sebagai pembekal tenaga untuk ASEAN,” katanya, sambil menyifatkan perkongsian tenaga serantau sebagai kunci kepada masa depan Asia Tenggara yang lebih lestari dan saling berhubung.
Terdahulu, Abang Johari menghadiri Meja Bulat Menteri secara tertutup pada Gastech 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Bangkok (BITEC).
Sesi berprofil tinggi itu menghimpunkan sekitar 30 menteri dan pemimpin kanan sektor tenaga dari seluruh dunia, selain ketua pegawai eksekutif syarikat minyak dan gas terkemuka.






