KUCHING: Sarawak menyasarkan pengeluaran 860,000 ekor babi pedaging setahun bernilai RM1.29 bilion menerusi ladang babi moden dan kawasan penternakan khusus yang meletakkan negeri ini sebagai pengeksport utama serantau.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, usaha itu juga akan meningkatkan keperluan terhadap pemprosesan hiliran bagi memenuhi permintaan pasaran domestik dan antarabangsa.
“Pengeluaran itu disasarkan melalui pengoperasian penuh Kawasan Penternakan Babi (PFA) Pasir Puteh dan Selangau, serta Ladang Babi Moden (MPF) di Ensengei.
“Selain itu, kita turut menyasarkan kapasiti keseluruhan sebanyak 500,000 Populasi Babi Ternakan Semasa (SPP) melalui ladang berkenaan, selari usaha Sarawak memperluas sektor penternakan babi secara ketara menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak telah melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan tahap sara diri ternakan serta memulakan libat urus dua hala dengan Kalimantan bagi meneroka peluang eksport babi.
“Usaha ini bagi mengurangkan defisit perdagangan makanan ternakan,” jelasnya.
Ujarnya, memandangkan Sarawak kekal bebas daripada Penyakit Kuku dan Mulut (FMD) tanpa vaksinasi, kerajaan akan terus menyokong penyertaan sektor swasta dalam industri ternakan babi.
“Selain itu, kita mengekalkan langkah pencegahan penyakit yang ketat bagi memelihara status tersebut,” tegasnya.
Mengulas tentang industri perikanan, jelasnya, kementerian komited untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi sumber perikanan Sarawak yang dianggarkan bernilai RM3.3 bilion melalui pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab.
“Antara langkah memulihkan penurunan pengeluaran ikan adalah penubuhan Jabatan Perikanan Sarawak bagi melengkapi peranan agensi Persekutuan dalam mengawal selia dan membangunkan industri perikanan negeri.
Selain itu, pengeluaran ditingkatkan melalui peluasan akuakultur yang tidak tertakluk kepada cuaca, bantuan kewangan menaik taraf vesel nelayan, serta galakan penglibatan belia dan latihan penggunaan vesel moden.” kongsinya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak RM6 juta diperuntukkan pada tahun 2026 bagi melaksanakan Inisiatif Makanan Haiwan — bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan makanan haiwan import serta memperkukuh jaminan bekalan makanan haiwan tempatan.
“Susulan pencapaian pensijilan MSPO pada April 2026, SALCRA kini dapat memasarkan secara komersial Palm Kernel Expeller (PKE) daripada Kilang Penghancur Isirung Sawitnya di Lubok Antu.
“Dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 13,500 tan metrik, PKE berpotensi mengurangkan import jagung kira-kira RM16.8 juta setahun,” katanya.
Beliau menambah, projek Smart Insect Farm bagi pengeluaran makanan Black Soldier Fly (BSF) sedang berjalan dengan baik dan dijangka siap menjelang suku keempat 2026, dengan pemasangan peralatan dijadualkan pada suku ketiga 2026.
“Setelah beroperasi, kemudahan tersebut dijangka menghasilkan kira-kira 180 tan metrik makanan BSF setahun,” jelasnya.
Memandangkan makanan BSF boleh menggantikan import kacang soya dan tepung ikan, inisiatif ini dijangka mengurangkan import makanan haiwan sekitar RM600,000 setahun.
“Kerajaan juga telah memperuntukkan RM1.0 juta bagi menyokong pembangunan industri BSF,” tambahnya.



