KUCHING: Sarawak menyasarkan semua empangan utama negeri mendapat pensijilan Standard Kemampanan Hidroelektrik (HSS) menjelang 2030, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, usaha memperakui semua empangan utama Sarawak di bawah piawaian HSS itu akan memastikan keselarasan dengan amalan terbaik antarabangsa, sekali gus menyokong aspirasi negeri untuk muncul sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui Asia.
“Sasaran itu penting bagi memastikan pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan rangkaian grid tenaga rentas sempadan dilaksanakan secara bertanggungjawab, dengan memberi keutamaan kepada perlindungan alam sekitar, kesejahteraan komuniti dan generasi akan datang.
“Komitmen ini jelas diterjemahkan melalui pencapaian Empangan Hidroelektrik Bakun yang menerima anugerah Sijil Perak HSS. Menjadikannya empangan hidroelektrik terbesar di Asia Tenggara yang menerima akreditasi global berprestij itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Ketiga Mengenai Pengurusan dan Kejuruteraan Keselamatan Empangan 2025, di sini, hari ini.
Tegasnya, pencapaian cemerlang itu merupakan komitmen dan kepatuhan Sarawak dengan piawaian tadbir urus alam sekitar, sosial dan pentadbiran (ESG) yang ketat di sepanjang kitaran projek.
Katanya lagi, empangan tersebut turut memenangi Anugerah Planet Biru Persatuan Hidroelektrik Antarabangsa 2025 di Paris yang mengiktiraf kecemerlangan dalam pembangunan dan pengoperasian tenaga hidro mampan.
Untuk rekod, empat empangan utama yang menjadi tulang belakang kepada penjanaan tenaga boleh diperbaharui negeri ialah Empangan Hidroelektrik Bakun, Murum, Batang Ai dan Baleh, dengan kesemuanya dikendalikan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB).

