BAU: Sarawak menyasarkan untuk meningkatkan populasi ternakan lembu kepada 150,000 ekor pada tahun 2030 bagi mengurangkan kebergantungan terhadap daging import.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pada ketika ini Sarawak hanya mampu mengeluarkan 12 peratus keperluan daging lembu dan kerbau bagi penggunaan domestik.
“Setakat ini populasi lembu di Sarawak adalah 18,000 ekor sahaja dan masih kurang berbanding dengan negeri lain.
“Disebabkan itu, Sarawak pada tahun lalu mengimport hampir RM90 juta daging lembu dari negara luar kerana tidak dapat menternak lembu sendiri,” katanya.
Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata demikian pada Majlis Perasmian Program AgriCOP dan Projek Ternakan Lembu Pedaging di kampung tersebut di sini, hari ini.
Menurutnya, industri ternakan pedaging di Sarawak mempunyai potensi yang sangat baik dan oleh itu kerajaan negeri sangat menggalakkan pekebun sawit menternak lembu di ladang masing-masing yang telah capai usia matang di bawah skim pawah atau Program Lembu Pawah (PLP).
Mengulas mengenai Projek Ternakan Lembu Pedaging seperti di Kampung Merembeh itu, katanya ia merupakan yang pertama dilaksanakan dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri ini.




