KUCHING: Sarawak bersedia untuk membantu membangunkan sukan di seluruh negara bagi memastikan Malaysia tidak ketandusan atlet-atlet berbakat pada masa akan datang.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia dapat dibuktikan menerusi kejayaan Sarawak sebagai tuan rumah SUKMA XXI, yang berusaha memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang temasya dwitahunan itu berlangsung.
Justeru, beliau berharap agar ia dapat dijadikan sebagai penanda aras untuk memupuk tali persaudaraan dalam kalangan atlet terutama anak-anak muda di Malaysia.
Mengulas lanjut kata Abang Johari, perpaduan anak-anak muda yang menyertai SUKMA XXI amat menyerlah serta bersaing dengan semangat kesukanan yang tinggi.
Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada atlet kontijen Sarawak yang meraih pingat pada temasya sukan itu sekali gus membawa Sarawak menjadi juara keseluruhan dalam SUKMA XXI.



