KUCHING: Kerajaan Sarawak sedia membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengembangkan Sistem Informasi Bank Darah (BBIS) melibatkan negeri ini.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara tersebut kerana hanya tiga tabung darah di Sarawak iaitu Tabung Darah di Hospital Umum Sarawak (HUS); Hospital Sibu; dan Hospital Miri yang mempunyai BBIS Versi 2.0 dipautkan dengan MySejahtera.

Katanya, 16 lagi beroperasi secara manual atau tanpa sistem.
Data derma darah yang tidak direkodkan dalam BBIS itu juga tidak termasuk di dalam jumlah derma.
“Justeru, kita (Kerajaan Sarawak) sedia membantu KKM untuk mengembangkan sistem tersebut, dan ia juga boleh digunakan bagi menyimpan rekod pesakit di semua fasiliti yang berkaitan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian pada Majlis Perasmian Karnival Kesihatan sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2023 dan Ulang Tahun Ke-75 Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Sarawak di pusat beli-belah The Spring, di sini, hari ini.
Sementara, beliau mendedahkan bahawa sebanyak 200 unit darah diperlukan setiap hari susulan pertambahan bilangan hospital kerajaan dan swasta di Sarawak untuk memastikan simpanan atau bank darah di negeri ini sentiasa stabil.
Menurutnya, bank darah di Sarawak juga sentiasa berada pada tahap selamat jika dibandingkan dengan negeri lain di Malaysia.



