ARTIKEL

Sarawak sedia sambungan semua penempatan dengan jalan raya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak menetapkan matlamat jangka panjang untuk memastikan semua penempatan di negeri ini dihubungkan melalui rangkaian jalan raya.

Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, setakat ini sebanyak 4,959 daripada 6,344 penempatan telah mempunyai akses jalan, manakala baki 1,385 lagi akan disambungkan secara berperingkat menerusi program sedia ada.

Menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak melaksanakan 503 projek pembangunan bernilai RM43.34 bilion.

“Projek ini merangkumi pembinaan jalan raya, jambatan, bangunan, struktur sungai, sebuah projek STOLport di Bebuling serta peluasan landasan Lapangan Terbang Limbang.

“Daripada jumlah itu, 239 projek bernilai RM9.44 bilion siap, 139 projek sedang dalam pembinaan melibatkan kos RM20.69 bilion, manakala 125 lagi berada di peringkat pra-kontrak dengan nilai RM13.21 bilion,” katanya.

Uggah berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut melaksanakan program pembinaan jambatan secara menyeluruh membabitkan 143 projek bernilai RM7.316 bilion. Ini termasuk 21 jambatan utama berjumlah RM6.92 bilion dan Program Transformasi Jambatan Luar Bandar (RBTP) bernilai RM396 juta meliputi 122 projek.

Matlamat RBTP adalah menggantikan jambatan kayu uzur dengan struktur konkrit lebih selamat serta membina laluan baharu di kawasan pedalaman.

Setakat ini katanya, lapan jambatan utama sudah siap termasuk Jambatan Marudi, Muara Lassa, Tun Taib Mahmud, Batang Saribas serta Datuk Amar Juma’ani.

Baki projek jambatan utama sedang berjalan, dengan 10 dalam pembinaan dan sembilan daripadanya dijangka siap pada 2026. Tiga lagi masih di peringkat pra-kontrak.

Bagi RBTP pula, 70 jambatan berada di peringkat pra-kontrak, 30 dalam proses tender, manakala 22 sedang dibina.

Selaras agenda PCDS 2030 ujarnya, JKR Sarawak turut memberi keutamaan kepada kelestarian alam melalui penggunaan bahan binaan moden seperti konkrit berprestasi ultra tinggi (UHPC) bagi Projek Jalan Trunk Kedua Pakej A2 yang merentasi Batang Sadong ke Sebuyau.

“Dua projek jalan bertingkat turut dibina di Batang Sadong, Samarahan serta laluan Teku-Pasai Siong ke Kemuyang di Sibu bagi meminimumkan gangguan terhadap tanah gambut sekali gus mengurangkan impak alam sekitar.

“Selain itu, JKR Sarawak melaksanakan 575 projek bernilai RM4.39 bilion di bawah enam agensi pembangunan termasuk IRSDA, SADA, BDDA, RADDA, MiRRDA dan GKCDA yang merangkumi infrastruktur asas di seluruh negeri,” jelasnya.

Daripada jumlah itu, 138 projek telah siap, 110 sedang dalam pembinaan dan 327 lagi berada di peringkat pra-kontrak.

Projek-projek berkenaan memainkan peranan penting dalam meningkatkan hubungan antara kawasan bandar dan luar bandar sekali gus menyokong objektif PCDS 2030 bagi memperkukuh mobiliti, pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Pilih makanan halal, berkhasiat

SOALAN: Adakah Islam mengajar umatnya supaya sentiasa memilih makanan berkhasiat? JAWAPAN: Ya, Islam mengajar umatnya supaya memilih makanan yang halal, baik dan berkhasiat demi menjaga

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan