KUCHING: Sarawak bersedia menyambut pemain skuasy beregu terbaik Asia apabila menjadi tuan rumah Kejohanan Skuasy Beregu Asia Ke-3 2026 yang akan berlangsung dari 18 hingga 21 Jun ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kejohanan berprestij yang diadakan di Pusat Skuasy Sarawak itu bakal menampilkan atlet elit yang bersaing dalam acara beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
“Penganjuran kejohanan ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam agenda pembangunan sukan Sarawak.
“Sekali gus membuktikan keupayaan negeri ini yang semakin berkembang dalam menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Skuasy Beregu Asia Ke-3 di Bangunan Baitul Makmur II di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Abdul Karim berkata kejohanan tersebut dijangka dapat merancakkan sektor pelancongan sukan, menjana peluang ekonomi kepada perniagaan tempatan serta mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab sukan serantau.
“Acara ini juga memberi pendedahan yang amat bernilai kepada atlet tempatan kerana mereka berpeluang beraksi menentang pemain beregu terbaik Asia di gelanggang sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, seramai 69 pemain dan 21 pegawai dari sembilan negara akan mengambil bahagian, menjadikan jumlah keseluruhan delegasi 90 orang sepanjang kejohanan empat hari itu.
Negara yang mengambil bahagian termasuk Taiwan, Hong Kong, India, Jepun, Korea, Malaysia, Pakistan, Singapura dan Thailand, yang akan membuat penampilan sulung menerusi kategori beregu campuran.
Antara pemain yang menjadi tumpuan ialah juara bertahan beregu lelaki dari India, Abhay Singh dan Velavan Senthilkumar, manakala juara wanita, Joshna Chinappa, kembali untuk mempertahankan gelarannya bersama pasangan baharu.
Sementara itu, Pusat Skuasy Sarawak di Petra Jaya akan dinaik taraf sejurus selepas berakhirnya Kejohanan Skuasy Beregu Asia Ke-3 2026 sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2027.
“Kontraktor akan mula melakukan pengubahsuaian pada 22 Julai dan fasiliti berkenaan akan ditutup bagi memberi laluan kepada kerja pembangunan dan penambahbaikan kemudahan sukan di bawah persiapan Sukan SEA 2027,” katanya.



