ARTIKEL

Roland Sagah ketika bercakap dalam sidang media sempena pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini hari ini | Foto: Ramidi Subari

Sarawak sedia sokong sekatan media sosial bawah 16 tahun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Langkah Kerajaan Persekutuan untuk melarang kanak-kanak berumur bawah 16 tahun daripada memiliki akaun media sosial mempunyai kelebihan serta cabaran tersendiri, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.

Beliau berkata, langkah berkenaan bukan perkara baharu memandangkan beberapa negara telah melaksanakan sekatan serupa, sekali gus membuka ruang untuk Sarawak mempertimbangkan pendekatan yang sama.

“Beberapa negara telah melarang akses internet bagi individu di bawah 16 tahun, terutamanya bagi sesetengah aplikasi. Kita juga boleh melakukannya.

“Ini perkara yang baik. Kita tidak mahu golongan muda membazir masa dalam talian. Namun, sudah tentu pendekatan ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya,” katanya pada sidang media sempena pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini, hari ini.

Sagah menjelaskan bahawa penggunaan media sosial turut memberikan manfaat daripada aspek pendidikan.

“Internet bukan semuanya perkara sia-sia. Ada banyak kebaikan juga, asalkan ia digunakan dengan betul dan untuk meningkatkan pengetahuan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau mengakui pelaksanaan larangan tersebut kemungkinan berdepan cabaran khususnya daripada aspek teknikal.

“Contohnya seorang kanak-kanak berumur 10 tahun meletakkan umurnya sebagai 20 tahun. Bagaimana kita hendak mengesahkannya?

“Kita tidak tahu caranya. Tetapi usaha mengurangkan akses kepada program yang tidak bermanfaat untuk generasi muda pastinya satu langkah yang baik,” tambahnya.

Larangan ini merupakan sebahagian daripada peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian yang akan diperkenalkan bertujuan melindungi golongan muda daripada ancaman buli siber serta bahaya dalam talian.

Inisiatif tersebut dijangka memerlukan proses pengesahan umur melalui dokumen rasmi seperti MyKad atau pasport (e-KYC).

Pelaksanaan undang-undang ini dijangka bermula seawal 2026, dengan beberapa langkah awal diperkenalkan mulai Julai depan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU