ARTIKEL

ABANG JOHARI bersama rombongan yang hadir ke Sidang Kemuncak Filantropi Asia 2026 di Marina Bay Sands, hari ini. Foto: UKAS

Sarawak-Singapura perkukuh kerjasama ekonomi hijau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SINGAPURA: Kerjasama strategik antara Sarawak dan Singapura disifatkan sebagai model kukuh hubungan ekonomi hijau di Asia Tenggara yang mampu membuka ruang kepada kerjasama lebih mendalam dalam pelbagai sektor baharu pada masa hadapan.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembangunan koridor tenaga hijau rentas sempadan antara Sarawak dan Singapura mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai hab tenaga hijau serantau.

Menurut beliau, hubungan serantau yang semakin kukuh membolehkan Sarawak melangkah ke hadapan bersama negara jiran dalam membina Asia Tenggara yang mampan dan saling berhubung.

“Rangka kerja komersial, seni bina dasar serta asas teknikal semuanya sedang dibangunkan. Ini merupakan hubungan bekalan tenaga yang dibina antara dua ekonomi yang memahami kepentingan keselamatan tenaga dan peralihan ke arah sifar bersih.

“Saya melihatnya bukan sekadar transaksi, tetapi sebagai infrastruktur bersama. Apa yang sedang kita bina bersama seperti hubungan grid, sistem pensijilan dan kepercayaan mempunyai nilai yang melangkaui mana-mana perjanjian tenaga tunggal.

“Justeru, kerjasama dengan Singapura menjadi model kukuh kepada hubungan ekonomi hijau di rantau Asia Tenggara yang akan membuka ruang kepada kerjasama lebih mendalam dalam pelbagai sektor baharu pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Sarawak dan Wilayah: Ekonomi Hijau yang Dibina Dalam Masa Nyata sempena Sidang Kemuncak Filantropi Asia 2026 di Marina Bay Sands, hari ini.

Jelasnya, Sarawak sejak sekian lama membawa visi besar untuk menjadi “Bateri ASEAN” dengan memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui bagi menjana masa depan lebih bersih untuk rantau ini.

“Hari ini, visi itu bukan lagi sekadar cita-cita. Dalam salah satu pelaksanaan awal Grid Kuasa ASEAN, kami sedang membangunkan koridor tenaga hijau yang menghubungkan dua wilayah.

“Hubungan serantau ini membolehkan tenaga elektrik bersih mengalir merentasi sempadan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan peranan filantropi masa kini tidak lagi diukur semata-mata melalui amal kebajikan, sebaliknya berdasarkan keupayaan mencetuskan perubahan jangka panjang, menyokong inovasi, memperkukuh institusi serta mempercepat pelaksanaan penyelesaian yang mungkin mengambil masa lebih lama untuk digerakkan oleh pasaran semata-mata.

Menurutnya, di Sarawak usaha itu merangkumi pengukuhan ekosistem transformasi mampan termasuk penyelidikan, pembangunan bakat, teknologi bersih, daya tahan komuniti dan pembangunan industri rendah karbon.

“Akhirnya, matlamat kita adalah pertumbuhan yang seimbang dan inklusif, yang mana kerajaan, industri, akademia dan sektor filantropi bekerjasama membina masa depan yang lebih mampan serta berdaya tahan,” katanya.

Terdahulu, beliau meluangkan masa menghadiri sesi sarapan pagi bersama Menteri Tenaga Manusia Singapura, Dr Tan See Leng.

Pertemuan itu dimanfaatkan kedua-dua pemimpin untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai perkara ke arah memperkukuh kerjasama strategik antara Sarawak dan Singapura.

Selepas itu, Abang Johari turut mengadakan dua mesyuarat berprofil tinggi bersama Temasek dan Equatic Inc.

Delegasi Temasek diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dilhan Pillay Sandrasegara, bersama kepimpinan kanan syarikat berkenaan.

Sementara itu, delegasi Equatic Inc. diwakili Pengasas merangkap Ketua Pegawai Teknologi, Gaurav Sant, serta Ahli Lembaga syarikat, Ryan Tan.

Beliau kemudian menghadiri majlis makan tengah hari bersama Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Trust, Desmond Kuek dan kepimpinan kanan organisasi itu.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU