KUCHING: Sarawak Skills terus memperkukuh kualiti latihan tempatan dengan menghantar pensyarah dan tenaga pengajar berpengalaman ke luar negara bagi memperoleh kepakaran baharu.
Eksekutif Pemasaran Kanan merangkap Ketua Unit Perhubungan Sekolah Sarawak Skills, Awang Mohamad Hasrekim Awg Yusof berkata, pengetahuan serta pendedahan yang diperoleh di luar negara dibawa pulang dan diaplikasikan di Sarawak Skills bagi meningkatkan kualiti serta kerelevanan program latihan yang ditawarkan.
“Dengan mengintegrasikan kepakaran baharu ini, Sarawak Skills memastikan program yang dilaksanakan sentiasa selari dengan keperluan industri.
“Semua kursus dan latihan disusun berdasarkan permintaan semasa industri, dengan keperluan kemahiran serta pengetahuan majikan diterjemahkan secara langsung ke dalam kurikulum,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sesi Perkongsian Sarawak Skills bertajuk Laluan Kerjaya dalam Bidang TVET dan Peluang Pengajian di Sarawak Skills sempena Asia Pacific Aerospace Conference & Exhibition (APACE) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Ujarnya, pendekatan ini membantu graduan memperoleh kompetensi yang tinggi permintaan serta bersedia untuk memasuki alam pekerjaan.
Mengulas perancangan akan datang jelasnya, Sarawak Skills akan bekerjasama dengan MADA Rice Training Centre (MRTC) bagi menawarkan program khusus dalam bidang penanaman padi moden.
“Tahun ini, kira-kira 20 pelajar dari Sarawak telah dihantar ke Kedah untuk menjalani latihan di MADA, namun bermula tahun hadapan, pelajar baharu akan menjalani keseluruhan latihan tersebut di Sarawak Skills.
“Inisiatif ini selari dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi jelapang padi seperti Kedah, dengan kerjasama antara kerajaan Sarawak dan MADA bertujuan melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang penanaman padi moden,” tambahnya.
Untuk rekod, sesi perkongsian tersebut disertai kira-kira 10 buah sekolah yang berlangsung dalam dua sesi, iaitu pagi dan petang hari ini, sebagai sebahagian daripada program lebih besar melibatkan 24 sekolah menengah kebangsaan (SMK) dari 27 hingga 29 Januari.

