PONTIANAK: Sarawak menyatakan sokongan terhadap ekspedisi normalisasi perdagangan di sempadan Kalimantan Barat termasuk cadangan mewujudkan jawatankuasa sempadan ekonomi bersama.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, lawatan strategik kali ini turut membincangkan ketersambungan udara termasuk penyambungan semula penerbangan Kuching ke Pontianak pada September depan.
Menurutnya, ia selaras dengan pengambilalihan MASWings oleh Kerajaan Sarawak dan penjenamaan semulanya sebagai AirBorneo serta pelancaran laluan bas Singkawang ke Kuching pada 2024.
“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan ketersambungan serantau, perdagangan rentas sempadan, pelancongan dan hubungan perniagaan di seluruh Borneo serta rantau Asia Tenggara yang lebih luas.
“Sehubungan itu, kita menyokong ekspedisi normalisasi perdagangan di sempadan Kalimantan Barat termasuk cadangan penubuhan jawatankuasa sempadan ekonomi bersama bagi pembangunan bersama di sepanjang sempadan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Jelasnya, kedua-dua pihak menyatakan minat yang kuat dalam meningkatkan pertukaran pengunjung dan perniagaan.
“Penerbangan terus Kuching-Pontianak bermula 12 September depan dijangka meningkatkan akses pelancongan dan penjagaan kesihatan dengan lebih ketara.
“Tambahan pula, inisiatif Kerajaan Sarawak menubuhkan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan (STATO) di Pontianak mengukuhkan lagi komitmennya terhadap integrasi serantau jangka panjang,” ujarnya.
Terdahulu, Awang Tengah mengetuai delegasi ke Pontianak untuk lawatan strategik yang memuncak dalam pertemuan penting dengan Gabenor Kalimantan Barat, Drs. H. Ria Norsan.
Lawatan itu menekankan komitmen Sarawak terhadap hubungan dua hala yang lebih erat sekali gus menarik pelaburan bernilai tinggi, memupuk inovasi dan meningkatkan integrasi ekonomi serantau.
Dalam pertemuan sama, Awang Tengah menekankan peranan Sarawak sebagai peneraju serantau dalam tenaga boleh diperbaharui serta hab industri semikonduktor dan aeroangkasa, selain memberi tumpuan memacu pelaburan dan inovasi bernilai tinggi.
Lawatan diakhiri dengan komitmen bersama terhadap inisiatif yang akan meningkatkan kesalinghubungan, menggalakkan inovasi dan memacu kemajuan ekonomi mampan untuk Sarawak dan Kalimantan Barat.

