KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk memberi peruntukan tambahan dalam usaha menambah baik banglo pegawai di Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya, di sini.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perkara tersebut penting kerana ia bukan sahaja dapat meningkatkan keceriaan kawasan kediaman atau kuarters polis tetapi juga meningkatkan imej kompleks berkenaan.
“Tadi saya nampak banglo pegawai belum lagi dihias, jadi saya akan tambah peruntukan untuk mengemas kini banglo pegawai supaya dapat memberi keceriaan dan meningkatkan imej kompleks ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena penyempurnaan kerja mengecat Kompleks Perumahan PDRM Tabuan Jaya dan penyerahan empat buah pacuan empat roda untuk Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), di sini, hari ini.
Menjelas lanjut mengenai jumlah peruntukan tambahan tersebut, Abang Johari ketika ditemui memberitahu, beliau perlu melihat anggaran peruntukan yang diperlukan terlebih dahulu.
“Kita tetap akan menambah peruntukan supaya kompleks ini menjadi lebih cantik,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menambah, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM5 juta untuk melaksanakan kerja-kerja mengecat bangunan Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya.
Dalam hal berkaitan, menjelas mengenai pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Kerajaan Sarawak sedaya upaya membantu menyediakan kenderaan yang sesuai dan diperlukan oleh JSJN.
Beliau memberitahu, Sarawak tidak mengambil alih bidang kuasa keselamatan yang berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, sebaliknya hanya memberi bantuan dengan keupayaan sendiri.






