KUCHING: Sarawak mendahului senarai negeri di seluruh negara dalam usaha menyokong Program Penghijauan Malaysia untuk menanam 100 juta pokok menjelang 2025.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata setakat 30 Mei tahun ini, Sarawak sudah menanam 12,247,202 pokok daripada sejumlah 33,165,534 pokok yang telah ditanam di seluruh negara.
“Sebagai wilayah terbesar Malaysia, Sarawak boleh berkhidmat sebagai peneraju tindakan iklim dengan mengambil inisiatif untuk menunjukkan bagaimana kita boleh mengimbangi pembangunan dengan kelestarian.
“Kita sudah komited untuk mengekalkan hutan melalui inisiatif berasaskan alam semula jadi seperti penanaman pokok.
“Menyedari perkara ini, kerajaan Sarawak komited untuk menanam 35 juta pokok menjelang 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Pelancaran Program Pemulihan Habitat, Perlindungan dan Penanaman Pokok Bersepadu Sarawak Energy Tahun Ke-10 di Rizab Semulajadi Samajaya di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh dan Pengerusi Sarawak Energy Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi.
Majlis turut menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili dan CEO SFC Zolkipli Mohamad Aton.




