KUCHING: Sejumlah RM67.5 juta daripada keseluruhan RM100 juta peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui inisiatif Bitara Madani telah diagihkan setakat November lalu bagi mengukuhkan infrastruktur asas dan peralatan klinikal di seluruh Sarawak.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, ia selain daripada peruntukan tambahan berjumlah RM50 juta bagi enam projek fasiliti kesihatan daif serta sebanyak RM5.2 juta untuk aset bernilai rendah dan item modal bagi tahun 2025.
“Kesemua projek berkenaan kini berada pada peringkat prapelaksanaan dan proses tender akan dibuka selepas kerja reka bentuk disiapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
“Projek tersebut membabitkan Klinik Kesihatan (KK) Biawak di Lundu, KK Tepus di Selangau, KK Kuala Lawas di Lawas, KK Tun Abang Haji Openg di Subis, KK Tanjung Bijat di Sri Aman serta Wad Pengasingan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Bagi tahun 2025, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperuntukkan sebanyak RM52.8 juta untuk kerja naik taraf, pengubahsuaian dan pembaikan klinik kesihatan di Sarawak.
“Daripada jumlah ini, RM40 juta adalah di bawah Bitara Madani, RM7.5 juta bagi perkhidmatan klinik luar bandar, RM1.3 juta untuk naik taraf kuarters dan RM4 juta bagi projek hibrid solar KK Long Semadoh.
“Ketika ini, sejumlah 65.9 peratus klinik kesihatan di Sarawak diklasifikasikan sebagai daif, menunjukkan peningkatan berbanding 76.4 peratus dalam tempoh sama tahun lalu hasil pelaksanaan Bitara Madani sejak 2023,” jelasnya.
Tambahnya, di bawah inisiatif projek rintis, sebanyak dua klinik baharu iaitu KK Nanga Atoi dan KK Nanga Ngungun diluluskan dengan kos anggaran RM12.8 juta.
“Kedua-dua klinik kini dalam pembinaan dengan KK Nanga Atoi dijangka siap hujung tahun ini, manakala KK Nanga Ngungun pada suku ketiga 2026,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pelaksanaan projek Hospital Lawas kekal mengikut jadual dengan kemajuan fizikal 95.86 peratus setakat 25 Oktober lalu.
“Bangunan utama Hospital Lawas dijangka siap dan beroperasi pada separuh kedua 2026. Ketika ini terdapat lima jawatan pakar diluluskan melibatkan pakar perubatan, pakar bedah, pakar obstetrik dan ginekologi, pakar pediatrik dan pakar Bius, namun hanya jawatan pakar perubatan telah diisi,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau berkata, pelaksanaan projek Hospital Petra Jaya menerima lanjutan masa keempat, sekali gus dijangka siap pada 23 Februari 2026 berbanding jadual asal pada 1 Ogos 2025.
“Setakat 25 Oktober lalu, kemajuan fizikal projek mencapai 84.99 peratus,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek pembinaan Pusat Kanser Sarawak kini pada peringkat prapelaksanaan dengan JKR Malaysia sebagai agensi pelaksana.
“Selepas penilaian, anggaran kos awal projek ialah RM1.52 bilion. JKR Malaysia kini dalam proses menyiapkan laporan awal dan tempoh pembinaan dijadualkan antara 2026 hingga 2031,” katanya.

