Sarawak terima tambahan PPE

KUCHING: Pelbagai peralatan perlindungan diri (PPE) yang dibeli dari Shanghai, China untuk barisan hadapan perubatan tiba di sini, pagi tadi.

Ia terdiri daripada 5,000 keping pakaian perlindungan perubatan pakai buang, 100,000 pelindung muka, 5,000 penutup but perubatan, 184,000 penutup kasut, 184,000 pakaian isolasi, 184,000 topi kejururawatan, 184,000 penutup tudung dan 60,000 pelitup muka N95.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, kesemua PPE berkenaan sampai di MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini kira-kira jam 3 pagi menggunakan penerbangan khas kedua dari Shanghai.

“Ini adalah pembelian kedua di mana Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dengan kelulusan Kementerian Kesihatan membayarnya dan kita amat bernasib baik kerana Kementerian Kesihatan membenarkan penerbangan khas untuk membawa jutaan ringgit PPE ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual sempena penyerahan PPE di MAS Kargo LTAK, hari ini dengan diiringi Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing.

Dr Sim berkata pembelian PPE pertama dari Shanghai adalah pada 9 April yang ditempah oleh JKNS tetapi dibayar oleh kerajaan Sarawak.

Sementara, Dr Chin berkata PPE berkenaan akan diagihkan kepada semua fasiliti kesihatan kerajaan di Sarawak secepat mungkin.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan Sarawak dan Kementerian Kesihatan dalam memastikan kami mempunyai PPE mencukupi, yang amat penting terutama kepada barisan hadapan kami,” katanya.

Bekalan PPE yang tiba di MAS Kargo LTAK dari Shanghai sedia untuk diagihkan ke fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh Sarawak.