KUCHING: Sarawak merancang untuk meneroka model pengurusan data berasaskan Grid AI dengan mengambil contoh pendekatan yang dibangunkan di Kesatuan Eropah (EU).
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan tersebut dilihat sebagai antara hala tuju masa depan dalam pengurusan data yang lebih efisien dan fleksibel berbanding kaedah konvensional.
“Beberapa negara Eropah seperti Itali dan Sepanyol telah mula membangunkan rangkaian grid yang menghubungkan sistem pemprosesan data, sekali gus membuka ruang kepada akses maklumat secara masa nyata.
“Saya melihat model di Kesatuan Eropah ini sebagai sesuatu yang boleh kita pelajari dan sesuaikan dengan keperluan kita kerana mereka telah mula membangunkan sistem grid yang menghubungkan data, dan ini mungkin menjadi hala tuju masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa ProtectSarawak 2025 mengenai Privasi Data dan Kepercayaan Digital di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Abang Johari turut memberi bayangan bahawa Sarawak tidak mahu terlalu bergantung kepada pembangunan pusat data konvensional, sebaliknya menilai pendekatan alternatif yang lebih mampan.
“Kita mempunyai pusat data kerajaan, namun saya tidak begitu menggalakkan pendekatan tersebut untuk jangka panjang.
“Sekiranya menggunakan tenaga sehingga 100 hingga 200 megawatt, kita perlu memikirkan pulangannya. Mungkin lebih baik tenaga itu digunakan untuk sektor lain yang boleh menjana lebih banyak peluang pekerjaan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kepesatan perkembangan teknologi memerlukan pendekatan yang lebih dinamik agar pelaburan yang dibuat tidak mudah ketinggalan zaman.
“Teknologi berkembang terlalu pantas, jadi kita perlu sentiasa menilai semula pendekatan kita supaya tidak terperangkap dengan model lama,” katanya.
Sementara itu dalam ucapannya, Abang Johari memaklumkan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dijangka membawa perubahan besar kepada landskap ekonomi digital dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurut beliau, Grid AI membolehkan data disimpan di ruang orbit menerusi penggunaan nanosatelit, sekali gus membolehkan akses maklumat dilakukan secara masa nyata melalui isyarat berkelajuan tinggi.

“Saya merasakan dalam tempoh lima tahun, pusat data mungkin tidak lagi relevan kerana bakal digantikan dengan Grid AI.
“Semua data akan berada di awan dan disokong oleh teknologi satelit di orbit, membolehkan kita memperoleh data secara masa nyata,” katanya.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata evolusi teknologi berlaku dengan amat pantas apabila dunia kini telah beralih daripada pendigitalan kepada penggunaan AI dalam tempoh yang singkat.
“Dalam tempoh lima tahun, kita telah melihat bagaimana AI berkembang pesat. Daripada sekadar AI generatif, kini kepada AI agentik yang mampu memproses setiap segmen data secara berterusan.
“Saya menjangkakan selepas ini akan muncul pula AI strategik yang melibatkan data kedaulatan sesebuah negara,” jelas beliau.
Beliau turut menekankan bahawa AI bergantung kepada pengumpulan dan pemprosesan data berskala besar melalui model bahasa besar (LLM) yang membolehkan sistem memberikan jawapan serta penyelesaian kepada pelbagai masalah.
Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa penguasaan data global berkemungkinan besar akan terus didominasi oleh syarikat teknologi gergasi seperti Apple, Amazon, Google dan Microsoft.
Namun katanya, peluang masih terbuka kepada negara atau syarikat kecil untuk bersaing sekiranya mampu menguasai teknologi dan inovasi berkaitan



