ARTIKEL

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meletakkan tapak tangan pada skrin simbolik semasa merasmikan pelancaran Pelan Strategik Jabatan Tanah dan Survei 2026–2030.

Sarawak teroka teknologi biomas, perkukuh agenda tenaga bersih

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Sarawak kini giat meneroka teknologi biomas sebagai antara sumber tenaga boleh diperbaharui utama, di samping memperkukuh pembangunan hidrogen serta pengeluaran metanol hijau dan ammonia hijau bagi menyokong agenda peralihan tenaga dan kelestarian alam sekitar negeri.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata teknologi biomas berpotensi besar menjana tenaga secara mampan dengan memanfaatkan sumber semula jadi secara optimum serta mengurangkan pelepasan karbon.

Menurut beliau, antara pendekatan baharu yang diterokai ialah penggunaan ‘wood pellet’ yang dihasilkan daripada tumbuhan cepat tumbuh sebagai bahan bakar bagi penjanaan tenaga melalui biomas.
“Teknologi ini adalah sebahagian daripada penerokaan tenaga baharu Sarawak dan keseluruhan prosesnya menggunakan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi pengumpulan, penyimpanan dan pemprosesan data,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan LANDAS Summit 2026 di Hotel Imperial, di sini, Isnin.

Abang Johari berkata penggunaan AI dalam teknologi biomas membolehkan analisis data dilakukan secara lebih tepat, termasuk dalam aspek pengurusan sumber, pengukuran tanah dan perancangan pembangunan, sekali gus menghasilkan penyelesaian lebih berkesan terhadap cabaran alam sekitar.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melihat buku Pelan Strategik Jabatan Tanah dan Survei 2026–2030 yang disampaikan kepada beliau.

Beliau menegaskan penerokaan teknologi biomas melengkapkan strategi tenaga boleh diperbaharui Sarawak yang merangkumi hidro, solar dan hidrogen, sekali gus memastikan peralihan tenaga dilaksanakan secara berperingkat dan bersepadu.

“Pendekatan ini melengkapkan strategi tenaga boleh diperbaharui Sarawak yang merangkumi hidro, solar dan hidrogen, bagi memastikan pembangunan ekonomi dapat diteruskan tanpa menjejaskan alam sekitar,” katanya.

Abang Johari berkata Sarawak juga antara negeri terawal mengusulkan penggunaan hidrogen sebagai sumber tenaga, khususnya dalam sektor pengangkutan awam, dan kini melihat perkembangan positif apabila kos penghasilan hidrogen melalui proses elektrolisis semakin menurun.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata industri petrokimia Sarawak yang dibangunkan oleh anak tempatan menggunakan gas metana dan hidrogen kini bergerak ke arah pengeluaran metanol hijau dan ammonia hijau yang semakin mendapat permintaan tinggi dalam industri perkapalan global.

“Dengan pengeluaran metanol hijau dan ammonia hijau, Sarawak bukan sahaja menyokong agenda tenaga bersih, malah meletakkan negeri ini sebagai pemain penting dalam rantaian industri baharu berasaskan tenaga lestari,” katanya.

Tambah beliau, pengambilalihan dan pengurusan Pelabuhan Bintulu oleh entiti negeri mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam menguasai keseluruhan ekosistem industri tenaga baharu di Bintulu.

“Kita mengawal keseluruhan spektrum industri baharu ini dan ini meletakkan Bintulu sebagai hab tenaga bersih dan petrokimia Sarawak,” katanya.

BERITA LAIN

Empat projek naik taraf sistem elektrik di Betong

KUCHING: Empat projek naik taraf sistem bekalan elektrik di Bahagian Betong dijangka dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi

BERITA TERBARU

Empat projek naik taraf sistem elektrik di Betong

KUCHING: Empat projek naik taraf sistem bekalan elektrik di Bahagian Betong dijangka dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi