KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memberi ruang kepada wanita untuk terlibat secara aktif dalam proses membuat keputusan di peringkat negeri menerusi pelantikan ke jawatan strategik dalam perkhidmatan awam negeri.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan itu mencerminkan keyakinan Kerajaan Sarawak terhadap keupayaan wanita dalam memimpin serta menyumbang secara berkesan kepada pembangunan Sarawak.
Beliau berkata, Sarawak mencatat sejarah apabila melantik seorang wanita sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, selain pelantikan pertama seorang wanita sebagai Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
“SEDC merupakan badan penting dalam ekonomi Sarawak dan peranan wanita dalam menerajui agensi ini membuktikan keupayaan mereka dalam memperluas serta memperkukuh pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo di sini, hari ini.
Abang Johari turut menegaskan bahawa lebih banyak jawatan dan peranan penting akan terus dibuka kepada wanita pada masa hadapan, selari dengan usaha memperkukuh kepimpinan inklusif di Sarawak.
“Jika wanita kuat di Sarawak, Sarawak juga akan terus kuat, maju dan, insya-Allah, akan terus makmur,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak memberi penekanan besar kepada pembangunan modal insan termasuk penyediaan pendidikan tinggi percuma di institusi milik negeri bagi memastikan anak-anak Sarawak mendapat akses pendidikan tanpa kekangan kewangan.
Beliau berkata, wanita luar bandar dan wanita pribumi turut memainkan peranan penting sebagai penggerak ekonomi keluarga, penjaga warisan budaya dan tonggak kestabilan sosial komuniti masing-masing.
Katanya, dapatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2023 menunjukkan pemerkasaan ekonomi wanita luar bandar memberi kesan langsung kepada peningkatan tahap pendidikan anak-anak, kesihatan keluarga serta kestabilan sosial komuniti, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Abang Johari berkata, penggunaan teknologi secara bersesuaian termasuk latihan literasi digital, aplikasi perniagaan mudah alih dan akses kepada infrastruktur digital mampu memperkukuh penyertaan wanita luar bandar dan wanita pribumi dalam ekonomi moden tanpa menghakis identiti serta warisan budaya mereka.

