KUCHING: Sarawak akan memperhebatkan proses pencarian atlet baharu selain memulakan sesi latihan lebih awal pada Februari tahun depan.
Pendekatan tersebut diambil sebagai persediaan membentuk pasukan bagi menghadapi temasya Para SUKMA ke-22 pada 2026 yang akan berlangsung di Selangor.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohamad Razi Sitam, mengaku betapa penting proses ke arah itu dalam usaha Kontinjen Sarawak mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada Para SUKMA ke-21 2024.
“Kami akan mula menyediakan atlet lebih awal, memberi pendedahan dan latihan yang diperlukan kepada mereka sebagai sebahagian daripada misi kita untuk meraih kejuaraan ke-15.
“Pencarian bakat baharu juga akan bermula, iaitu pada bulan Februari tahun depan,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Apresiasi Kontinjen Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di salah sebuah hotel terkemuka di bandar raya ini malam tadi.
Terdahulu, beliau melahirkan rasa bangga terhadap prestasi cemerlang dipamerkan oleh barisan atlet yang bertanding pada temasya lepas.
Beliau seterusnya berharap reputasi hebat berkenaan dapat dijadikan penanda aras terbaik dalam misi mencetak kejuaraan sekali lagi pada Para SUKMA ke-22 2026 nanti.
Mohamad Razi menekankan kepentingan kerja berpasukan, pengorbanan, dan kesungguhan dalam mencapai kejayaan terbabit.
“Saya percaya tanpa dedikasi, semangat juang tinggi serta kerjasama berpasukan dalam kalangan atlet, jurulatih, pegawai dan semua agensi yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak, kejayaan ini tidak mungkin dapat dicapai,” tambah beliau.


