ARTIKEL

Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn

Sarawak terus memperkukuh pendidikan STEM dan Bahasa Inggeris

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelaksanaan Ujian Penilaian Program Dwi Bahasa Sarawak Tahun 6 (UP-DLPS 6) menandakan satu pencapaian penting dalam usaha berterusan Sarawak untuk memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah.

Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, berkata melalui penilaian tersebut, kementerian berhasrat menilai secara objektif prestasi murid dalam Sains dan Matematik yang diajar dalam Bahasa Inggeris serta mengenal pasti bidang yang perlu ditambah baik.

Katanya, keputusan penilaian ini akan digunakan untuk merangka program intervensi khusus bagi meningkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah DLP.

“Semua kertas soalan bagi UP-DLPS 6 telah disemak dan disahkan oleh Cambridge University Press and Assessment (CUPA) bagi memastikan kesahihan dan kebolehpercayaan instrumen ujian tersebut dalam menilai pengetahuan serta kemahiran murid mengikut piawaian antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan.

UP-DLPS 6 itu juga mula dilaksanakan pada 15 dan 16 Oktober di seluruh Sarawak, melibatkan 1,050 sekolah rendah serta 29,177 murid Tahun 6.

Sehubungan itu, Sagah menambah, UP-DLPS 6 merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurutnya, penilaian berstandard ini merangkumi mata pelajaran Sains dan Matematik yang diajar sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris di bawah DLP Sarawak, serta mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

“Saya juga merakamkan penghargaan kepada JPNS dan KPM atas kerjasama dan sokongan padu dalam memastikan pelaksanaan UP-DLPS 6 berjalan lancar. Terima kasih kepada semua guru besar, guru, ibu bapa, serta murid atas dedikasi dan komitmen berterusan mereka terhadap kejayaan inisiatif DLP Sarawak, yang merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang negeri untuk melahirkan pelajar berdaya saing di peringkat global di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, beliau mengambil kesempatan mengucapkan selamat maju jaya kepada semua murid Tahun 6 yang menduduki UP-DLPS 6.

“Saya yakin pencapaian mereka akan mencerminkan kekuatan Sarawak yang semakin meningkat dalam bidang pendidikan STEM dan Bahasa Inggeris,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU