MUKAH: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak terus memainkan peranan penting dalam membantu rakyat yang memerlukan menerusi pelbagai skim bantuan bulanan, bencana serta rawatan perubatan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, bantuan tersebut adalah bagi meringankan beban golongan yang terlibat dan memastikan mereka hidup dalam keadaan sejahtera.
“Begitu juga dengan Majlis Sejambak Kasih, ia adalah bagi membantu meringankan beban penerima bantuan menyambut perayaan Hari Gawai Dayak tidak lama lagi.
“Alhamdulillah, sejak dilaksanakan, ia memberi manfaat kepada penerima bantuan bulanan terutamanya bagi menyambut perayaan yang diraikan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai 2026 di Rumah Ajah, Tanjung Pedada, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, seramai 505 penerima bantuan bulanan berbangsa Iban menyambut Hari Gawai 2026 bagi daerah Mukah setakat Mei berdasarkan statistik Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Mukah.
Jelasnya, angka ini menunjukkan komitmen berterusan JKM Sarawak dalam menjaga kebajikan penerima bantuan.
Sehubungan itu, Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat memberitahu bahawa JKM Sarawak telah menyalurkan pembayaran bantuan sebanyak RM11.31 juta kepada 4,540 penerima bantuan di bahagian Mukah.


Katanya lagi, daripada jumlah tersebut, JKMS telah menyalurkan sebanyak RM2.71 juta kepada 1,140 orang penerima daripada pelbagai skim bagi daerah Mukah.
Sementara itu, ADUN Tellian Royston Valentine memberitahu bahawa bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak adalah untuk membantu meringankan beban rakyat di negeri ini.
Ujarnya, inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan ini akan diteruskan bagi memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pihak kerajaan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana sentiasa prihatin dengan semua lapisan masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar,” tambahnya.
Dalam pada itu, Fatimah dan Royston masing-masing mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM7,000 dan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Rumah Ajah bagi menyokong penganjuran program serta aktiviti di rumah panjang tersebut.
Hadir sama, Pemangku Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah Dariel Thiong Yiew Seng.



