ARTIKEL

Sarawak tidak jangka perubahan besar dasar pembangunan pasca-PRU

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak tidak menjangkakan perubahan besar terhadap hala tuju pembangunan dan dasar negeri meskipun berlaku pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kedudukan Sarawak yang stabil dari segi politik membolehkan negeri ini terus melaksanakan agenda pembangunan yang telah dirancang.

“Bagi Sarawak, kita tidak menjangkakan sebarang perubahan. Saya tidak begitu pasti mengenai Kerajaan Persekutuan kerana ketika ini kita tidak benar-benar tahu siapa yang mempunyai kelebihan.

“Namun yang menariknya, Sabah dan Sarawak kemungkinan akan menjadi pihak yang menentukan siapa yang akhirnya menerajui Parlimen atau memimpin Malaysia kerana kedua-dua wilayah ini mempunyai kedudukan yang agak stabil,” katanya.

Abdul Karim berbicara kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Konvensyen Mini Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2026 di sebuah hotel di Kuching, hari ini. Foto: GHAZALI BUJANG

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Konvensyen Mini Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurut beliau, landskap politik di Semenanjung ketika ini masih belum menunjukkan dengan jelas pihak mana yang mempunyai kelebihan untuk membentuk kerajaan, berbeza dengan situasi di Sarawak.

Mengulas kemungkinan perubahan dasar dan peruntukan sekiranya berlaku pertukaran kerajaan Persekutuan, Abdul Karim menegaskan mana-mana pihak yang berjaya membentuk kerajaan baharu perlu mengambil kira kepentingan Sabah dan Sarawak.

“Peranan kedua-dua wilayah itu semakin signifikan dalam menentukan pembentukan kerajaan Persekutuan, sekali gus menjadikan suara Sabah dan Sarawak sukar diketepikan.

“Siapa sahaja yang akan menerajui Malaysia nanti, mereka akan datang kepada kita. Walau apa pun pendirian mereka sebelum ini, apabila diberikan tanggungjawab untuk mentadbir negara, mereka perlu melihat perkara ini secara lebih sederhana dan realistik,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan Sabah dan Sarawak berpotensi sekali lagi memainkan peranan sebagai kuasa penentu bagi membentuk kerajaan yang akan memerintah negara selepas PRU akan datang.

Katanya, kestabilan politik yang dinikmati kedua-dua wilayah berkenaan memberi kelebihan dalam rundingan dan pembentukan kerjasama politik di peringkat nasional.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU