ARTIKEL

Uggah mewakili Premier pada Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain bersempena dengan Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di sini, malam tadi.

Sarawak tidak mahu lahirkan generasi kaya ilmu tetapi miskin nilai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak tidak mahu melahirkan generasi yang kaya dengan ilmu tetapi miskin nilai, sebaliknya pembangunan anak negeri perlu memastikan penguasaan teknologi bergerak seiring dengan adab, sahsiah dan tanggungjawab terhadap keluarga serta masyarakat.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keperluan itu semakin penting ketika Sarawak membina ekonomi baharu yang memerlukan generasi muda menguasai sains, teknologi, kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI) dan bidang lain yang bakal menentukan masa depan negeri.

“Namun, pendidikan sahaja tidak mencukupi.

“Kita tidak mahu melahirkan generasi yang kaya dengan ilmu tetapi miskin dengan nilai.

“Kita mahu generasi yang maju dalam teknologi, tetapi tetap menghargai keluarga, menghormati orang lain dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain bersempena dengan Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata pendidikan memberikan ilmu, keluarga membina asas manakala adab dan sahsiah menentukan arah kehidupan seseorang.

Katanya, kerajaan boleh menyediakan sekolah, universiti, biasiswa, teknologi dan peluang, namun peranan keluarga sebagai sekolah pertama bagi setiap anak tidak dapat digantikan.

“Oleh itu, apabila kita bercakap tentang Sarawak yang maju dan makmur, kita tidak boleh hanya melihat kepada ekonomi, pelaburan atau infrastruktur.

“Kita juga mesti membina anak Sarawak yang lebih baik, berilmu tetapi merendah diri, maju tetapi beradab, berjaya tetapi tidak melupakan keluarga dan masyarakat,” katanya.

Malah katanya, perjalanan 80 tahun Tun Wan Junaidi turut membawa pengajaran kepada generasi muda bahawa latar belakang atau tempat seseorang memulakan kehidupan tidak menentukan sejauh mana mereka mampu pergi.

“Yang penting ialah kesungguhan untuk terus belajar, keberanian menghadapi cabaran dan kesediaan untuk menggunakan apa yang kita miliki demi sesuatu yang lebih besar daripada diri sendiri,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, pembentukan generasi berilmu dan beradab juga berkait rapat dengan kemampuan Sarawak mengekalkan keharmonian masyarakatnya yang berbilang agama dan latar belakang.

Sehubungan dengan itu ujarnya, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) mempunyai tanggungjawab penting sebagai jambatan antara Kerajaan Sarawak dengan komuniti agama lain.

“Peranannya tidak hanya tertumpu kepada pengurusan bantuan, pentadbiran atau program, sebaliknya turut membina kepercayaan, membuka ruang komunikasi serta memastikan hubungan antara kerajaan dan masyarakat agama terus berlangsung secara terbuka.

“Ini menunjukkan bahawa keharmonian bukan hanya sesuatu yang kita sebut dalam ucapan, tetapi sesuatu yang kita bina melalui pertemuan dan hubungan.

“Apabila kita duduk bersama, berkongsi makanan, meraikan perayaan dan saling mengenali, kita membina kefahaman yang mungkin tidak dapat dicapai melalui dasar atau dokumen semata-mata,” katanya.

Jelasnya, hubungan itu semakin bermakna apabila Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi sendiri sering turun bersama masyarakat serta menghadiri pelbagai program dan perayaan termasuk bersama komuniti Kristian, Bahá’í dan agama lain.

“Keharmonian Sarawak tidak boleh bergantung pada individu atau sesuatu majlis sahaja, sebaliknya perlu disokong institusi, diperkukuh melalui libat urus berterusan dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“UNIFOR perlu terus memainkan peranan sebagai jambatan antara kerajaan dengan masyarakat agama-agama lain serta sebagai satu daripada institusi yang membantu kita memelihara keharmonian Sarawak,” katanya.

Majlis berkenaan turut mencatat sejarah apabila buat pertama kali diadakan di Amity Hall, Kompleks UNIFOR, yang menurut beliau mencerminkan tujuan penubuhan institusi itu untuk menghimpunkan masyarakat berbeza dalam suasana saling menghormati dan muhibah.

“Dalam majlis ini, masyarakat Kristian, Buddha, Tao, Hindu, Sikh, Bahá’í serta komuniti agama lain hadir membawa doa, penghormatan dan semangat muhibah kepada pasangan berkenaan.

“Cara kita berdoa mungkin berbeza.

“Tradisi dan bahasa kita juga berbeza.

“Namun, semua doa itu bertemu pada satu harapan yang sama — semoga Tun dan Toh Puan terus dikurniakan kesihatan, ketenangan, kebahagiaan dan kesejahteraan.

“Bagi saya, itulah antara hadiah yang paling bermakna daripada rakyat kepada seorang Ketua Negeri,” katanya.

Sambutan itu bukan sekadar meraikan perjalanan 80 tahun kehidupan Tun Wan Junaidi, tetapi turut mencerminkan hubungan masyarakat Sarawak yang datang daripada pelbagai agama dan latar belakang namun berkongsi negeri serta masa depan yang sama.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU