KUCHING: Sarawak tidak bergerak secara meluru dalam penerokaan ekonomi hijau, sebaliknya mengukuhkan kedudukannya menerusi pelan tindakan berstruktur dan terancang.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, pendekatan berkesan itu berpaksi kepada empat kerangka asas yang dibangunkan sejak dua tahun setengah lalu.
“Antara perkara awal yang dilakukan oleh kementerian saya ialah merangka kerangka bagaimana kita boleh memulakan semua inisiatif hijau ini, yang merangkumi perundangan, teknikal, kewangan dan modal insan.
“Dari segi perundangan, ia melibatkan pindaan pelbagai ordinan negeri bagi membolehkan inisiatif hijau dijalankan mengikut peraturan, pensijilan dan pengesahan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan UNIMAS Finance, Economics and Business Sustainability di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hazland menjelaskan kerangka teknikal pula merangkumi pemanfaatan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta kerjasama dengan rakan strategik antarabangsa.
“Walaupun populasi Sarawak sekitar 2.5 juta dan kepakaran teknikal kita belum mencapai tahap tertinggi, kita sentiasa boleh bekerjasama dengan rakan teknikal dunia.
“Hasilnya, kita berjaya membangunkan industri hidrogen dan kini projek Transit Pantas Automotif (ART) di kawasan UNIMAS serta loji hidrogen Rembus yang sedia digunakan tahun depan,” jelasnya.
Berkaitan kerangka kewangan, perniagaan dan percukaian, beliau menegaskan keupayaan Sarawak dalam monetarisme sembilan jenis sumber tenaga baharu bagi mencipta hasil tambahan kepada negeri dan negara.
Manakala kerangka keempat iaitu pembangunan sumber manusia menyaksikan latihan kepakaran anak tempatan menerusi institusi seperti UNIMAS, i-CATS dan Sarawak Skills bersama penyedia teknologi global.





