BUDAPEST: Sarawak berusaha memperkukuh keupayaan logistik dan keterhubungan serantaunya dengan menimba pengalaman daripada ekosistem logistik bersepadu Hungary menerusi lawatan rasmi ke Budapest Intermodal Logistics Centre (BILK) – salah satu hab utama kargo rel dan logistik di Eropah Tengah.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata lawatan tersebut membolehkannya bersama-sama delegasi mendapatkan pemahaman lebih mendalam berkaitan operasi BILK, khususnya dalam pengurusan kargo rel, operasi terminal bersepadu, pergudangan, penyelarasan logistik dan pengurusan keselamatan.
“Kami amat berminat untuk melihat bagaimana pusat logistik bersepadu seperti BILK menggabungkan perkhidmatan rel, jalan raya, pergudangan, pengedaran, pengendalian kargo, operasi terminal, proses berkaitan kastam serta pelibatan sektor swasta dalam satu ekosistem yang cekap,” katanya yang mengetuai delegasi lawatan tersebut, yang turut dihadiri pegawai-pegawai kanan kerajaan, ketua agensi serta perunding yang terlibat dalam penyediaan Pelan Tempatan Limbang-Lawas 2035.
Awang Tengah menambah pengalaman BILK amat relevan ketika Sarawak terus memperkukuh pelabuhan, lapangan terbang, kawasan perindustrian, pintu masuk sempadan, rangkaian pengangkutan darat dan rantaian bekalan serantau bagi menyokong pertumbuhan ekonomi masa depan.
Pada masa yang sama, katanya pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh daripada BILK juga akan menyumbang kepada penyediaan Pelan Tempatan Limbang-Lawas 2035, yang bertujuan memperkukuh kemudahan logistik, keterhubungan pengangkutan, perdagangan sempadan dan pembangunan industri di utara Sarawak.
Beliau berharap lawatan tersebut akan membuka ruang kepada kerjasama dan pertukaran pengetahuan pada masa hadapan antara Sarawak dan Hungary dalam membangunkan ekosistem logistik yang lebih berhubung, berdaya saing dan mampan.

