ARTIKEL

Abang Johari (duduk, tengah) merakam gambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat dan hadirin pada Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak (MIS) 1448H/2026M Zon Tengah di Dataran Pehin Setia Raja, Mukah.

Sarawak usul perluas konsep wakaf ilmu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Cadangan memperluaskan konsep wakaf kepada wakaf ilmu mendapat sokongan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, manakala Perdana Menteri turut menerima cadangan berkenaan untuk dikemukakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi penelitian lanjut.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sultan Perak turut mencadangkan penubuhan kumpulan kerja bagi meneliti struktur pengurusan wakaf ilmu supaya pelaksanaannya dibuat mengikut syarak.

“Sultan mencadangkan kumpulan kerja untuk melihat struktur bagaimana kita menguruskan wakaf mengikut syarak.

“Ini penting mengikut syarak supaya kita dapat memperluaskan cara kita memberikan ilmu dan harta kita melalui syarak kepada umat manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak Tahun 1448H/2026M Zon Tengah di Dataran Pehin Setia Raja, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, perkara itu dibincangkan ketika beliau menghadiri Konvensyen Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 27 Julai lalu yang dirasmikan Sultan Nazrin.

“Alhamdulillah, Perdana Menteri pun menerimanya. Jadi kita kemukakan kepada JAKIM kerana agama ada di bawah negeri, Sultan masing-masing.

“Insya-Allah, kalau cadangan daripada seorang Sultan yang mempunyai intelek tinggi, sudah tentu dapat kita kupaskan untuk memperluaskan konsep wakaf,” katanya.

Beliau berkata, konsep wakaf pada hakikatnya merupakan satu instrumen penting dalam menjaga kebajikan dan pembangunan masyarakat melalui penyerahan harta, aset atau sumber tertentu untuk dimanfaatkan secara berterusan.

“Jadi apa yang berlaku di Malaysia hari ini, kita wakafkan hanya harta. Sama ada tanah, rumah yang kita wakaf.

“Tetapi tidak diperbesarkan dengan wakaf ilmu. Kerana ilmu ini adalah satu-satunya instrumen yang boleh membantu masyarakat,” katanya.

Menurutnya, ilmu perlu dilihat sebagai satu bentuk sumbangan berterusan kerana ia mampu meningkatkan keupayaan masyarakat dalam pelbagai bidang pembangunan.

“Kalau pertanian, mesti ada ilmu. Kita berikan ilmu ini dengan niat untuk memperbaiki keadaan masyarakat.

“Ini satu-satunya cara kita melaksanakan konsep wakaf,” katanya.

Abang Johari berkata, pendekatan memperluaskan wakaf melalui ilmu turut diterapkan menerusi peranan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada kebajikan, malah turut diperluaskan melalui pendidikan dan perkongsian ilmu.

“Sebab itu saya sarankan supaya kita memahami wakaf ilmu.

“Kita luaskan PERKIM melalui ilmu termasuklah wakaf ini,” katanya.

Beliau menyifatkan cadangan tersebut sebagai sumbangan Sarawak dalam memperkenalkan pendekatan baharu berkaitan wakaf yang mampu memperkukuh kebajikan masyarakat Islam.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Dato Hanifah Hajar Taib serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Hadir sama ialah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak Datu Khalidi Ibrahim, Ketua Hakim Syarie Sarawak Datu Awang Suhaili Ledi, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Al-Quran Darul Hana (DHQC-MIS) Mohamad Shalahudin Marzuki, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine, Residen Bahagian Mukah Bujang Rahman Seli, Pengarah JAIS Ustaz Mual Suaud serta ketua masyarakat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU