KUCHING: Sebahagian jalan di Bulatan Simpang Tiga, berhampiran Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak di sini akan ditutup selama 12 hari bermula 4 hingga 15 Mac ini.
Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) berkata penutupan sementara melibatkan kawasan berkenaan juga bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pemindahan paip air.
Justeru, katanya, pengguna jalan raya diminta berhati-hati semasa memandu di kawasan yang disenaraikan di atas.

“Sila patuhi semua langkah pengurusan trafik, papan tanda amaran dan had laju yang ditetapkan demi keselamatan pengguna jalan raya dan pekerja pembinaan.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan sewajarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sarawak Metro juga akan memaklumkan jika terdapat sebarang perubahan berkenaan notis ini.
Untuk sebarang pertanyaan mengenai notis ini, sila hubungi talian hotline di 1300-88-5887 (Isnin hingga Jumaat, dari 8 pagi hingga petang) atau emel ke 555999@sarawak.gov.my atau info@mysarawakmetro.com.



