KUCHING: Sarawak akan mewartakan koridor atau jajaran gas di bawah perancangan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan insiden kebakaran saluran paip gas seperti yang berlaku di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata langkah itu bertujuan memastikan tiada sebarang pembinaan dilakukan di kawasan berkenaan bagi menjamin keselamatan.
“Kita bimbang kejadian seperti yang berlaku di Putra Heights berulang. Oleh itu, kita akan mewujudkan koridor gas, termasuk di Samalaju.
“Ia akan menjadi kawasan yang dikawal ketat, jadi pembangunan perumahan dan kemudahan awam tidak boleh dibina di sana,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, di sini pada Khamis.
Abang Johari berkata kerajaan negeri masih mempunyai ruang untuk melaksanakan pendekatan itu memandangkan inisiatif SGR masih di peringkat awal.
Beliau berkata pihak perancang yang terlibat dalam pelaksanaan SGR mencadangkan supaya kawasan tersebut digazetkan sebagai koridor khas.
“Yang penting, mesti ada zon penampan (buffer zone) yang luas di sekitar koridor gas ini supaya kita dapat mengesan lebih awal sekiranya berlaku kebakaran,” katanya. -Bernama



