KUCHING: Integrasi SarawakPass dengan MyDigital ID menandakan satu kemajuan penting dalam pembangunan ekosistem identiti digital nasional yang selamat, dipercayai dan bersepadu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, penyelarasan itu merupakan kerjasama strategik untuk menghubungkan platform identiti digital peringkat negeri (SarawakPass) dengan ekosistem digital ID nasional (MyDigital ID).
“InsyaAllah data pengguna untuk SarawakPass juga terjamin,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Menandatangani dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Kerjasama Antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan Berhubung Integrasi SarawakPass dan MyDigital ID di Dewan Kenyalang DUN, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pemeteraian MoU antara Kerajaan Sarawak dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) penting bagi mencapai tujuan tersebut.
Sementara itu, satu kenyataan media yang dikeluarkan memberi jaminan bahawa rakyat akan menikmati akses yang lebih mudah kepada perkhidmatan awam, keselamatan yang dipertingkatkan dan pengalaman pengguna yang lebih lancar melalui pengesahan rentas platform, verifikasi identiti digital dan rangka kerja kepercayaan yang diselaraskan.
Integrasi ini membolehkan pengguna SarawakPass mengakses perkhidmatan dalam talian Kerajaan Persekutuan yang memerlukan pengesahan MyDigital ID, dan sebaliknya membolehkan pengguna MyDigital ID mengakses perkhidmatan yang didayakan oleh SarawakPass.
Interoperabiliti ini memastikan pengalaman digital yang seragam, selamat dan lebih mudah diakses merentas platform Persekutuan dan Negeri.
Dalam pada itu, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menyaksikan pemeteraian MoU diwakili Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin.


