KUCHING: Inisiatif Skim Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) dicadangkan untuk dinaik taraf menerusi penggunaan sistem solar hibrid yang lebih mampan bagi memastikan bekalan elektrik lebih stabil dan berdaya tahan di kawasan pedalaman.
ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang berkata, pendekatan tersebut boleh dilaksanakan secara perkongsian melibatkan rumah panjang dan penempatan berhampiran khususnya di kawasan luar bandar Bahagian Kapit.
“Tidak dinafikan SARES membawa perubahan besar kepada kehidupan masyarakat luar bandar, namun masih terdapat beberapa cabaran praktikal di lapangan yang memerlukan perhatian serius.
“Saya mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan penambahbaikan inisiatif SARES menerusi penggunaan sistem solar hibrid yang lebih mampan dan boleh dikongsi bersama antara rumah panjang serta penempatan berhampiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Menurutnya, pendekatan ini mampu menyediakan bekalan elektrik yang lebih stabil, cekap dan boleh dipercayai kepada komuniti luar bandar.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk memperluas kemudahan kiosk pembayaran layan diri serta mempergiat program kesedaran berkaitan platform pembayaran dalam talian dan perkhidmatan digital khususnya di kawasan Kapit dan Pelagus.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memohon agar pelaksanaan Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) diperluas khususnya di kawasan rumah panjang yang masih belum mempunyai akses kepada bekalan air bersih dan terawat.

