KUCHING: Skim Bekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) merupakan satu penyelesaian sementara untuk membekalkan elektrik kepada penduduk di kawasan yang jauh dan sukar diakses serta belum mempunyai infrastruktur bekalan elektrik.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, Sarawak Energy sentiasa mencari alternatif untuk memastikan semua sistem SARES dapat disambungkan kepada Sistem Grid Utama Sarawak.
Katanya, sistem solar di bawah program SARES dengan reka bentuk asal iaitu sebanyak 2 kiloWatt-jam (kWj) sehari telah ditambah kapasiti kepada 3 kWj sehari pada 2019.
“Kapasiti 3 kWj sehari perlu dikekalkan bagi menjaga jangka hayat komponen utama bateri agar keseluruhan sistem boleh bertahan sekurang-kurangnya selama enam tahun,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk inisiatif peralihan daripada sistem luar grid kepada grid bagi menyambung komuniti yang kini dibekalkan dengan sistem hibrid, SARES atau stesen janakuasa diesel di Song, Bukit Mabong dan Telang Usan ke grid.
“Ini akan memberi manfaat kepada 235 isi rumah yang melibatkan lapan kampung dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.
“Usaha ini akan diteruskan di mana Kementerian saya melalui agensi pelaksana Sarawak Energy sedang berusaha mengenal pasti lebih banyak penempatan lagi yang boleh disambungkan ke grid termasuk Rumah Rentap, Rumah Penghulu Robert dan Rumah Upok supaya penduduk-penduduk kampung di kawasan yang terlibat akan menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil dari grid,” ujarnya.
Julaihi memaklumkan program penggantian bateri dan komponen utama di bawah SARES merupakan inisiatif penting untuk memastikan bekalan elektrik berterusan.
“Bateri menyimpan tenaga solar untuk digunakan pada waktu malam atau ketika cuaca mendung. Sarawak Energy telah melaksanakan program ini sejak 2024.
Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM30 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi menjalankan penggantian bateri dan komponen utama secara berperingkat untuk sistem SARES yang telah mencapai akhir jangka hayat.
“Setakat ini, RM23 juta telah dibelanjakan bagi penggantian bateri di 81 buah kampung, memberi manfaat kepada 2,046 isi rumah di seluruh Sarawak,” jelasnya.
Sementara itu, mengenai kes vandalisme yang melibatkan kemudahan infrastruktur utiliti dan telekomunikasi, beliau memberitahu ia mencatatkan sejumlah 2,458 kes pada tahun 2024, berbanding 894 kes sehingga September tahun ini.
Tegasnya, ia menunjukkan penurunan sebanyak 64 peratus. Jumlah kerugian juga telah mencatatkan penurunan sebanyak 36 peratus daripada RM7.34 juta pada tahun 2024 kepada RM4.73 juta pada tahun ini.
“Melalui Jawatankuasa Anti-Vandalisme yang ditubuhkan, kementerian saya bersama pelbagai jabatan serta agensi Kerajaan Sarawak dan Persekutuan telah menjalankan pelbagai inisiatif untuk membanteras aktiviti vandalisme terhadap infrastruktur utiliti dan telekomunikasi termasuk menjalankan Operasi Bersepadu ‘Ops Lusuh’ berkala di premis barang lusuh bersama PDRM, agensi penguatkuasa, utiliti dan telekomunikasi di seluruh Sarawak.
“Ini termasuk memperkukuhkan kerjasama dan pelibatan komuniti setempat melalui program kesedaran anti-vandalisme dengan menggalakkan masyarakat melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan di kemudahan utiliti dan telekomunikasi; dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pelaku vandalisme ke atas kemudahan utiliti dan infrastruktur telekomunikasi.
“Saya menyeru agar semua Ahli Dewan yang mulia ini bekerjasama dengan kementerian saya dan turut serta dalam Kempen Pencegahan Anti-Vandalisme bagi membendung jenayah vandalisme,” ujarnya lagi.


