DEBAK: Pembangunan Kompleks Sukan Debak dianggap sebagai langkah penting dalam menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas sebagai pusat program pembangunan sukan luar bandar.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam, menyatakan bahawa dengan adanya kompleks sukan yang lebih lengkap, ia akan menggalakkan lebih banyak pertandingan sukan pelbagai peringkat dapat diadakan.
“Melalui peruntukan RM14 juta daripada Kerajaan Sarawak, kita berusaha menyediakan infrastruktur sukan yang serba lengkap untuk pembangunan belia dan aktiviti sukan di Saribas.
“Saya yakin ini adalah langkah penting dalam menggalakkan lebih banyak pertandingan besar, sekali gus menjadikan DUN Saribas sebagai pusat program pembangunan sukan luar bandar,” katanya selepas meninjau pelaksanaan projek tersebut semalam.

Beliau juga menekankan bahawa Saribas sudah terkenal dengan penganjuran sukan seperti futsal, berbasikal, dan lain-lain.
Projek pembinaan Kompleks Sukan Debak fasa kedua kini sedang dilaksanakan.
Skop projek ini termasuk pembinaan astaka, pengambilan tanah, serta pengubahsuaian struktur jalan untuk menyediakan kemudahan sukan bertaraf tinggi bagi penduduk sekitar Debak dan kawasan sekitarnya.
“Projek ini adalah bukti komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan sukan yang berkualiti kepada masyarakat.
“Kami berharap ia dapat mencetuskan semangat dan memberikan lebih banyak peluang kepada belia di Saribas untuk mengasah bakat serta mempromosikan gaya hidup sihat.
“Kompleks ini juga diharapkan dapat menjadi pusat sukan yang dinamik dan memberi manfaat kepada generasi muda di kawasan luar bandar,” tambah Razi.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Morshidi Fredric, serta Ketua Penolong Setiausaha Tetap, Seruji Ludin.


