DEBAK: Semangat dan sokongan padu yang ditunjukkan masyarakat Saribas diyakini mampu memastikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas terus kekal sebagai kubu kuat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr. Mohammad Razi Sitam yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti PBB, menyeru lebih ramai penduduk, khususnya golongan muda, menyertai parti tersebut bagi memperkukuh perjuangan dan kesinambungan kepimpinan GPS di Sarawak.
Menurutnya, sehingga kini keahlian Parti PBB di DUN Saribas telah mencecah 9,614 orang, namun jumlah itu masih boleh dipertingkatkan.
“Saya belum berpuas hati kerana kita mahu lebih ramai lagi menyertai PBB.
“Melihat semangat yang ditunjukkan oleh orang Saribas hari ini, saya yakin DUN Saribas akan terus menjadi kubu kuat PBB dan GPS.
“Justeru, marilah kita merapatkan saf, memperkukuh strategi dan memperkemaskan gerak kerja.
“Saya percaya suasana menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang berbeza, iaitu dengan gelombang sokongan yang semakin kuat untuk memenangkan GPS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jalinan Mesra Pemimpin Bersama Rakyat Parti PBB Cawangan Saribas di Dewan Perpaduan, Debak, hari ini.
Majlis yang menghimpunkan kira-kira 1,000 ahli Parti PBB itu telah dirasmikan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Dalam perkembangan sama, Razi berkata pertambahan ketara jumlah pengundi di DUN Saribas pada PRN akan datang susulan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik bagi warganegara berusia 18 tahun ke atas, menjadi cabaran baharu kepada jentera parti.
“Menurut rekod semasa, seramai 17,286 pengundi layak mengundi di DUN Saribas pada PRN akan datang, berbanding hanya 10,984 pengundi pada pilihan raya negeri yang lalu.
“Pertambahan ini menuntut kepimpinan parti, khususnya di peringkat akar umbi, untuk bekerja lebih gigih dalam memastikan sokongan rakyat terus diperkukuh.
“Pun demikian, saya yakin semua ketua ranting bersama pasukan masing-masing telah dan sedang bekerja keras. Program Jalinan Mesra Pemimpin Bersama Rakyat yang dicadangkan sendiri oleh akar umbi ini membuktikan komitmen mereka untuk terus mendekati rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata pendekatan ‘pemimpin turun padang menemui rakyat’ serta hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat yang diibaratkan aur dengan tebing telah berjaya diterjemahkan menerusi penganjuran program tersebut di lima zon di DUN Saribas.





