ARTIKEL

Gambar hiasan Pixabay

Sarkas bukan sekadar hiburan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PENTAS sarkas bukan sekadar tempat untuk menghiburkan penonton, malah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka yang membesar dalam dunia tersebut.

Bagi Omar Alexander Avila, 34, dunia sarkas bukanlah sesuatu yang asing.

Sebagai Pengarah Great British Circus, beliau meneruskan legasi keluarga yang telah bertahan sejak beberapa generasi.

Bermula sebagai penghibur, beliau kini memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam memastikan setiap persembahan berjalan lancar dan terus mendapat tempat di hati masyarakat.

  1. Bagaimana pelibatan anda dalam dunia sarkas bermula?

Saya merupakan generasi keempat dalam keluarga yang terlibat dalam dunia sarkas. Minat terhadap bidang ini wujud sejak kecil lagi kerana seluruh ahli keluarga saya, termasuk datuk, moyang dan ibu bapa, turut mengusahakan sarkas.

Kira-kira 11 tahun lalu, saya mula berkecimpung dalam Great British Circus. Selepas tujuh tahun bersama kumpulan ini, saya diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai pengarah sarkas.

  1. Dari manakah inspirasi di sebalik persembahan bertemakan Atlantis?

Sebenarnya, tema persembahan ini diinspirasikan daripada kisah Atlantis, iaitu kota legenda yang dikatakan tenggelam di dasar laut.

Jalan ceritanya mengisahkan pengembaraan watak Captain Jack dan Pablo yang berusaha mencari petunjuk untuk menemukan kota legenda itu.

Melalui kisah ini, kami ingin membawa penonton merasai sendiri pengalaman penuh misteri dan pengembaraan sepanjang persembahan berlangsung.

  1. Bagaimanakah proses menghasilkan tema persembahan baharu setiap tahun?

Kami akan menampilkan konsep yang berbeza menerusi Great British Circus kepada penonton bagi memberikan kelainan dan wajah baharu.

Kolaborasi antara pengarah, penerbit dengan penulis skrip dilakukan bagi memudahkan proses pengembangan idea sewaktu sesi perbincangan untuk menentukan konsep persembahan, pemilihan watak serta jalan cerita yang menarik.

  1. Berapakah tempoh masa yang diperlukan untuk menyiapkan sesebuah persembahan?

Bagi persembahan bertemakan Atlantis yang dipersembahkan pada bulan lalu ketika jelajah di Sarawak, proses perancangan dan penyediaannya mengambil masa kira-kira tujuh bulan sebelum dapat dipersembahkan kepada penonton.

  1. Cabaran terbesar dalam mengendalikan persembahan sarkas?

Memastikan setiap persembahan berjalan lancar kerana semuanya dilakukan secara langsung. Setiap segmen perlu diselaraskan dengan teliti dan sebarang masalah teknikal atau perkara tidak dijangka perlu ditangani dengan segera agar tidak menjejaskan pengalaman penonton.

  1. Sepanjang kerjaya anda dalam dunia sarkas, apakah perkara yang paling menarik?

Apabila saya dan ahli kumpulan berpeluang mengembara ke pelbagai negara.

Setakat ini, saya dan kumpulan sarkas menjelajah kira-kira 35 negara, sekali gus memberi peluang kepada kami untuk mengenali budaya dan masyarakat yang berbeza di seluruh dunia.

  1. Negara manakah yang menjadi pilihan anda sebagai pengarah sarkas?

Saya boleh katakan Malaysia ialah negara yang paling istimewa buat saya. Hal ini demikian kerana kami menetap di Malaysia selama kira-kira 11 tahun dan sentiasa menerima sambutan yang baik daripada masyarakat di sini.

Selain faktor keselamatan dan cuaca yang baik, rakyat Malaysia juga sangat mesra serta sentiasa memberikan sokongan terbaik terhadap persembahan kami.

  1. Berapa negeri di Malaysia yang telah dikunjungi?

Saya dan kumpulan hampir menjelajah ke seluruh negeri, termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah.

Bagi saya, peluang mengembara ini amat berharga kerana secara tidak langsung dapat memperkenalkan saya kepada pelbagai budaya dan latar belakang masyarakat.

  1. Bagaimanakah sambutan yang diterima daripada masyarakat Sarawak?

Saya sangat menghargai sambutan yang cukup meriah daripada masyarakat Sarawak.

Setiap hari, kami menerima kehadiran ratusan penonton dan perkara yang paling menggembirakan saya adalah apabila persembahan kami berjaya menambat hati mereka.

Masyarakat Sarawak juga tidak pernah jemu memberikan sokongan dan motivasi kepada kami untuk terus menghasilkan persembahan yang berkualiti dari hari ke hari.

  1. Matlamat utama Great British Circus?

Walaupun kita berada dalam era digital yang semakin berkembang dan seni persembahan secara langsung seperti seni kreatif serta teater kian dilupakan, kami tetap ingin mewujudkan semula suasana keseronokan sebenar.

Matlamat kami adalah untuk memastikan setiap keluarga yang hadir dapat menikmati pengalaman menyeronokkan bersama-sama keluarga tercinta, sekali gus menjadikan memori persembahan itu sebagai kenangan, khususnya kepada golongan kanak-kanak.

Pada masa sama, saya juga mahu masyarakat mengingati bahawa seni persembahan secara langsung lebih bermakna dan mampu menghidupkan semula suasana keluarga meluangkan masa bersama-sama tanpa perlu melihat skrin telefon pintar, televisyen atau platform digital lain.

  1. Nasihat anda kepada mereka yang berminat menceburi bidang sarkas atau industri kreatif?

Buat sesuatu pekerjaan dengan penuh minat dan kecintaan terhadap bidang tersebut.

Jangan terlalu memikirkan keuntungan semata-mata kerana bidang ini lebih menjurus kepada gaya hidup dan komitmen.

Apabila seseorang melakukan sesuatu dengan ikhlas dan bersungguhsungguh, segala usaha yang dilakukan akan terasa lebih bernilai dan hasilnya juga lebih memuaskan.

BERITA LAIN

A. Aida reda filem tiada sambutan

PENERBIT terkenal, Datuk A. Aida menerima dengan hati terbuka hakikat bahawa filem terbitannya, Bisikan Nafsu, tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan selepas mula ditayangkan di

JEP SEPAHTU bayar zakat RM1.93 juta

JEP SEPAHTU sekali lagi mencuri perhatian apabila berkongsi 16 resit pembayaran zakat bagi tempoh 2016 hingga 2025 yang menunjukkan jumlah keseluruhan kira-kira RM1.93 juta. Perkongsian

BERITA TERBARU