Sasar 70 peratus rakyat divaksin

KUCHING: Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran lebih aktif turun padang bagi mendaftar lebih ramai penduduk untuk menerima vaksin Covid-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, PBT lain boleh mengikut contoh yang dilaksanakan oleh MBKS yang turun padang bagi membantu orang ramai mendaftar untuk divaksin.

Menurutnya, meskipun setengah daripada populasi di negeri ini telah mendaftar untuk menerima vaksin, namun tidak semua penduduk tahu cara mendaftar menerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

Lantaran itu kata Kuh Hian, pendaftaran orang ramai untuk menerima vaksin dipergiatkan melalui pemimpin masyarakat yang membantu dan mendidik orang ramai mendaftar melalui MySejahtera khususnya di kawasan kampung.

“Pada masa yang sama, pejabat residen dan daerah juga telah diarah dan mula mengumpul maklumat orang ramai di kawasan kampung. “Bagi kawasan bandar, pendaftaran dilakukan oleh PBT seperti di pasar dan di pelbagai tempat awam agar kita mengetahui berapa ramai yang ingin divaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri pendaftaran vaksin Covid-19 yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) di Pasar Batu 7, Kota Sentosa, di sini, pada Ahad.

Tambah Kui Hian, walauapun setengah daripada jumlah populasi di negeri ini telah mendaftar untuk divaksin namun jumlah itu tidak mencukupi kerana Sarawak memerlukan 70 peratus rakyatnya divaksin bagi mencapai imuniti kelompok.

“Matlamat utama adalah 70 peratus populasi di negeri ini divaksin untuk menghentikan penularan virus ini. “Sekiranya penularan ini tidak dihentikan, virus ini akan bermutasi dan menghasilkan varian baharu.

“Walaupun kita telah divaksin untuk virus sesuatu varian, kita masih boleh dijangkiti dengan varian yang lain,” ujarnya. Oleh itu katanya, selagi semua penduduk di negeri ini belum divaksin, mereka belum lagi terlindung daripada virus tersebut.

Kui Hian mengulas lanjut, berdasarkan pola virus yang dilaporkan di negeri ini, sebanyak 40 peratus menunjukkan simptom pada Januari manakala 10 peratus menunjukkan simptom pada Mac.

“Virus ini terus bermutasi. Pada Mei dan Jun, tiada siapa yang tahu. Adakah virus ini akan menjadi lemah atau kuat? “Oleh itu, semua orang harus divaksin dalam kadar yang pantas untuk menghentikan penularan ini. “Apabila penularan virus tersebut dihentikan, ia tidak akan bermutasi,” ujarnya.

Suara Sarawak