Sasar hasil RM5,000 sebulan

BELADIN: Kerajaan Sarawak dijangka menandatangani lebih banyak Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pihak swasta sebagai syarikat peneraju bagi membantu memasarkan produk pertanian negeri ini ke pasaran global.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail memberitahu, sehingga kini Jabatan Pertanian Sarawak sudah menandatangani MoU dengan 15 syarikat peneraju.

Katanya, bakul makanan Sarikei dan Betong akan mengeluarkan hasil pertanian berkualiti dan dalam kuantiti yang banyak.

“Namun paling penting sebelum menembusi pasaran antarabangsa, kita perlu mematuhi Amalan Pertanian Baik (MyGAP).

“Ini penting dan petani-petani perlu menanam dalam jiwa mereka supaya mengikut sistem yang dapat menghasilkan hasil pertanian dan selamat untuk dimakan. “Bukan sahaja nampak cantik dan sedap tetapi selamat. Bahkan mesti berkualiti serta mengikut piawaian dan standard antarabangsa,” katanya.

Jelasnya, kementeriannya akan bekerja keras dalam tempoh 10 tahun ini selain menjalinkan kerjasama dengan semua pihak termasuk swasta.

Katanya, syarikat peneraju ini merupakan pihak swasta yang mempunyai hubungan dengan pasaran luar. “Kita akan membangunkan petani seperti yang tertera di bawah kontrak syarikat,” katanya ketika merasmikan Festival Makanan Beting Maro Edisi Ke-4 di Beladin.

Jelasnya, ia bagi mengatasi masalah pasaran yang sering dihadapi petani dahulu dan sekarang. Justeru itu menurutnya, kerajaan melibatkan diri dalam semua rangkaian pengeluaran sehingga ke aspek pemasaran.

“Insya-Allah kita akan menandatangani lebih banyak lagi kerjasama dengan syarikat peneraju untuk membantu menjual produkproduk tempatan di Sarawak,” ujarnya.

Menurut Dr Abdul Rahman lagi, Kerajaan Sarawak mempunyai perancangan besar ke arah membangunkan semua sektor di bawah skop pertanian yakni tanaman, perikanan, penternakan, pertanian moden, industri asas tani dan sebagainya.

“Kita mahu menjadi pengeksport tetap bahan-bahan produk pertanian menjelang tahun 2030. “Ini sekali gus merapatkan jurang pendapatan di antara bandar dan luar bandar. Sekurang-kurangnya setiap keluarga petani mendapat pendapatan minimum RM5,000 sebulan,” jelasnya.

Beliau menambah, pembangunan pertanian moden menjadi salah satu daripada empat teras yang akan diberikan tumpuan pada RMK-12 selain pembangunan infrastruktur asas, sektor pelancongan dan pembangunan sektor pendidikan terutamanya TVET. “Kesemua teras tersebut bagi mentransformasikan Sarawak ke era lebih gemilang dan cemerlang,” katanya.