KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan optimis dalam usaha untuk mencapai sasaran lima juta pengujung di Sarawak menjelang 2025.
Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata perkara tersebut juga selaras dengan pengumuman Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa ucapan Belanjawan 2025, menjana RM12.73 bilion dalam resit pelancongan.
Katanya, Sarawak merekodkan 3.98 juta pelawat bagi Januari hingga Oktober tahun ini dan meningkat 25.03 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023
iaitu dengan jumlah 3.18 juta.
“Ia juga mampu menjana anggaran RM10.27 bilion, meningkat 27.26 peratus berbanding dengan RM8.07 bilion dalam penerimaan pelancongan 2023.
“Kementerian saya menyasarkan kehadiran empat juta pengunjung bagi tahun ini. Bagaimanapun, kita telah berjaya mencecah 4.08 juta pengunjung pada 15 November lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan pada persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Tambahnya, perkembangan mendadak ini juga ekoran daripada penganjuran pelbagai acara antarabangsa dan acara pelancongan peringkat kebangsaan, konvensyen, persidangan dan mesyuarat.
“Justeru, saya menjangkakan sektor pelancongan akan pulih sepenuhnya menjelang tahun hadapan.
“Pertumbuhan sektor pelancongan setakat ini juga sejajar dengan matlamat yang digariskan di dalam Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030),” ujarnya.
Untuk rekod, setakat Januari hingga September tahun ini, Malaysia menerima sejumlah 18.4 juta pelancong dari seluruh dunia dan meningkat 27.0 peratus berbanding 2023.
Bergerak ke hadapan, bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026), negara ini menyasarkan sebanyak 35.6 juta pelawat dan menjana resit sebanyak RM147.1 bilion.


