BUTTERWORTH: Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan 156 permohonan dengan potensi pembiayaan bernilai RM26.67 juta tahun ini.
Sasaran tersebut adalah menerusi siri jelajah Program BizFrancais di enam negeri iaitu Perak, Pahang, Johor, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang.
Pengerusinya, Datuk Hazimah Zainuddin berkata ia selaras tanggungjawab PERNAS selaku peneraju pembangunan industri francais negara dalam melahirkan lebih ramai usahawan francais, selain membantu membangunkan jenama francais tempatan untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
Tahun lepas, pihaknya meluluskan pembiayaan sebanyak RM9.6 juta menerusi program sama yang diadakan di Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Terengganu dan Sarawak.
“Sejak Program BizFrancais diperkenalkan, PERNAS meluluskan pembiayaan sebanyak RM14.94 juta, setakat ini pihak kami menyalurkan sejumlah RM428 juta pembiayaan francais kepada 2,187 usahawan francais.
“Bagi 2023, sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk pembiayaan francais dan pra-francais,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program BizFrancais Pulau Pinang 2023 di Pusat Konvensyen PICCA Arena Butterworth, di sini, semalam.
Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Pulau Pinang, Rashidi Zinol merasmikan majlis tersebut.
Pada majlis itu turut diadakan penyampaian cek pembiayaan kepada lima penerima dengan jumlah keseluruhan RM2.12 juta.
Hazimah berkata, di Pulau Pinang, sebanyak RM6 juta potensi pembiayaan disasarkan tahun ini manakala secara keseluruhannya, setakat ini sebanyak RM13.9 juta disalurkan kepada usahawan di negeri itu melibatkan 96 jenama francais dan prafrancais negeri sejak diperkenalkan pada 2019.
“Usaha PERNAS membangunkan industri francais adalah melalui penyediaan ekosistem keusahawanan yang kondusif dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan yang merangkumi pembiayaan, pembangunan, bimbingan, latihan dan pelaburan ekuiti.
“Justeru, banyak peluang dapat dimanfaatkan oleh para peserta serta pengunjung, tambahan pula terdapat pelbagai bantuan disediakan oleh kerajaan dan PERNAS kepada mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan francais,” katanya.
Hazimah berkata, PERNAS kini sedang memperhebatkan usaha melahirkan lebih ramai usahawan francais melalui ‘Projek Be Your Own Boss (BYOB)’ yang menawarkan program keusahawanan menyeluruh dengan sasaran utama diberikan kepada golongan wanita dan belia.
Program tersebut ialah “Successful Women Entrepreneurship Engagement Talents atau nama singkatannya “SWEET” dan program “Young Entrepreneurship Engagement Talents (YOUNITY).
Selain itu, beberapa program keusahawanan francais baharu diperkenalkan tahun depan untuk golongan pesara dan veteran serta perusahaan sosial, katanya.
Bagi mendukung inisiatif Pelan Strategik KUSKOP 2023, beliau berkata penganjuran BizFrancais menyediakan peluang kepada usahawan sedia ada dan yang berpotensi. – Bernama



