KABONG: Masyarakat kini tidak boleh memandang enteng tekanan emosi dan psikologi dalam kalangan kanak-kanak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, ini memandangkan hampir seorang daripada enam kanak-kanak mengalami isu tersebut.
Sehubungan itu menurutnya, masalah kesihatan mental bukanlah isu terpencil.
“Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan kelaziman kemurungan dalam kalangan dewasa meningkat dua kali ganda daripada 2.3 peratus pada 2019 kepada 4.6 peratus pada 2023.
“Lebih membimbangkan, dalam kalangan kanak-kanak berumur 5 hingga 15 tahun, kadar ini melonjak daripada 7.9 peratus kepada 12.6 peratus.
“Ini bermakna hampir seorang daripada enam kanak-kanak kita sedang menghadapi tekanan emosi dan psikologi yang tidak boleh dipandang enteng,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan Program Advokasi dan Kesedaran Kesihatan Mental Komuniti Minda Sejahtera (K-Mindset) untuk Ketua Komuniti Peringkat Bahagian Betong 2025 di sini, hari ini.

Jelasnya, atas dasar keprihatinan ini, maka lahirlah inisiatif Komuniti Minda Sejahtera oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak tahun lalu.
“Program ini direka khusus untuk memperkasa ketua komuniti termasuk tuai rumah, ketua kampung, penghulu dan lain-lain agar lebih bersedia memainkan peranan penting dalam memelihara kesihatan mental komuniti masing-masing.
“Saya ingin menyatakan rasa bangga kerana Bahagian Betong telah terpilih sebagai salah satu daripada tiga bahagian di Sarawak untuk melaksanakan program ini pada tahun ini.
“Ini bukan sahaja satu pengiktirafan tetapi juga satu amanah besar yang perlu kita galas bersama. Program ini bukan sekadar ceramah atau latihan biasa, bahkan satu pelaburan jangka panjang dalam pembangunan komuniti yang lebih sihat secara holistik bukan sahaja dari segi ekonomi dan fizikal tetapi juga mental dan emosi,” ujarnya.
Modul K-MINDSET memberi pengetahuan dan kemahiran praktikal kepada pemimpin komuniti untuk mengenal pasti tanda-tanda awal tekanan mental, kemurungan atau keresahan dalam kalangan ahli komuniti, dan paling utama untuk bertindak secara empati dan berkesan.
Dalam menyokong usaha advokasi kesihatan mental, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu menegaskan, Kerajaan Sarawak melalui Majlis Pembangunan Sosial (MPS) merangka satu inisiatif iaitu Separuh Jalan Pulang, program yang bertujuan membantu gelandangan mental untuk dipulihkan dan kembali menjadi ahli komuniti yang produktif.
Dalam pada itu, Razi menyeru peranan besar ketua komuniti.
“Dalam banyak keadaan, merekalah individu pertama yang dihubungi apabila ada ahli komuniti menghadapi masalah.
“Sokongan moral dan emosi daripada seorang pemimpin tempatan boleh menjadi penentu antara kehidupan dan penderitaan.
“Kita mesti memastikan bahawa tidak ada seorang pun dalam komuniti kita yang merasa keseorangan, iaitu dengan mewujudkan satu budaya yang menyokong dan memahami,” tambahnya.
ADUN Kabong Datuk Mohd Chee Kadir dan Pegawai Kesihatan Bahagian Betong Dr. Mohamad Norhaizam Ahmad Narawi turut hadir.
Satu Daripada Enam Kanak-Kanak Hadapi Tekanan Emosi

