ARTIKEL

Datuk Fazzrudin Abdul Rahman.

Satu mekanisme baharu dicadangkan bantu M40 miliki rumah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Satu mekanisme baharu dicadangkan untuk membantu keluarga M40 memiliki rumah di pasaran terbuka.

ADUN Tupong, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, Sarawak sudah pun memberi sokongan kepada pembeli dalam kategori B40 melalui perumahan kos rendah dan mampu milik.

Katanya, sebagai contoh, Rumah Spektra Permata disasarkan kepada keluarga B40 dan M40, dengan unit biasanya berharga di bawah RM200,000.

Skim Bantuan Deposit Perumahan Sarawak juga menyediakan bantuan deposit 10 peratus sehingga RM10,000 bagi pembeli rumah pertama yang layak namun ramai keluarga M40 terperangkap dalam kelompok golongan tengah yang tertinggal.

“Pendapatan mereka terlalu tinggi untuk layak bagi perumahan B40, tetapi tidak mencukupi untuk membeli rumah pasaran terbuka yang berharga melebihi RM500,000.

“Ramai hanya mampu mendapatkan pinjaman sekitar RM250,000 hingga RM400,000, sedangkan rumah keluarga yang sesuai di kawasan bandar biasanya melebihi RM500,000,” katanya.

Beliau berkata dalam usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.

Sehubungan itu Fazzrudin mencadangkan beberapa pendekatan boleh diperhalusi dan dikaji secara mendalam oleh agensi berkaitan, termasuk pilihan pembiayaan jurang atau pinjaman kedua oleh kerajaan negeri.

Katanya, bagi rumah berharga sekitar RM500,000, pembeli dijangka memperoleh pinjaman bank sekitar RM400,000, dengan bayaran deposit antara RM25,000 hingga RM50,000, manakala baki jurang sebanyak RM50,000 hingga RM75,000 boleh ditampung melalui pembiayaan kerajaan negeri.

Pembiayaan tersebut, katanya, boleh dilaksanakan sama ada tanpa faedah, dikenakan kadar faedah rendah sekitar 1 peratus seperti model pembiayaan sedia ada atau melalui kaedah penangguhan bayaran bagi tempoh lima tahun pertama.

“Ini membantu pembeli merapatkan jurang kemampuan tanpa memaksa kerajaan menanggung subsidi penuh rumah tersebut. Kita boleh memulakan projek perintis melibatkan 1,000 pembeli yang layak,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU